Anda di sini

Saya taat ajaran Islam dan tahu harta tak dibawa ke mati, Abang Johari jawab tuduhan PH terhadap anaknya

Advertisement
Abang Johari ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada persidangan DUN, hari ini.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Violet Yong berniat mencemarkan nama baik beliau dan keluarga untuk kepentingan politiknya.

Beliau berkata Violet berniat jahat apabila mencetuskan persepsi negatif terhadap anak lelaki dan perempuan beliau yang tidak berada dalam Dewan untuk mempertahankan diri.

"Yang Berhormat Pending berniat jahat dan menyakitkan hati apabila menyatakan persepsi negatif terhadap Abdilah (anak lelaki saya) yang tidak berada di sini (Dewan) untuk mempertahankan diri.

"Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab saya telah memberi pendidikan kepada anak-anak saya dan membenarkan mereka meneruskan kerjaya profesional masing-masing.

"Adalah amat dikesali Yang Berhormat Pending telah mencemarkan nama baik saya dan keluarga demi kepentingan politiknya," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Abang Johari berkata Abdillah mendapat pendidikan dalam bidang teknologi Alexander College di Perth, Western Australia dan Aviation Institute, Australia, Jandakot, Perth dan pemegang Australian Pilot Licence. 

Abdillah memulakan Aido Digital Works di Cyberjaya sebagai pemaju dalam pelbagai permainan dalam talian dan animasi, juga menyediakan program latihan sambil belajar kepada pelajar Universiti MultiMedia. Minatnya terhadap teknologi Nintendo mendorongnya menubuhkan Aizo Digital, tambahnya.

Menurut Abang Johari, pada Februari 2016, sebelum beliau menjadi timbalan ketua menteri dan ketua menteri, Abdillah menyertai Borneo Sea OffShore sebagai pengarah bebas syarikat itu atas permintaannya yang merupakan seorang peguam.

Abdillah tegasnya tidak memegang sebarang saham serta tiada kepentingan fidusiari dalam firma tersebut. Beliau bersara sebagai pengarah bebas syarikat berkenaan pada Jun 2018.

Manakala anak perempuannya, Norjehan menurut Abang Johari pemegang Ijazah Sarjana Muda e-Perdagangan (Kepujian) daripada Curtin University, Perth, Australia.

Norjehan katanya telah menamatkan pengajiannya 15 tahun lalu dan pernah bekerja untuk Sarawak Energy dan kini bekerja dengan firma swasta dalam teknologi aplikasi.

"Saya ingin menyatakan bahawa sebagai seorang Islam yang taat kepada ajaran agama kita sedar bahawa apa-apa yang kita ada dalam bentuk harta tidak akan dibawa ke kubur apabila kita dipanggil oleh Ilahi; cuma yang dibawa ialah amalan kita ketika hidup.

"Rekod saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri selama 38 tahun sejak tahun 1981, dan ahli pentadbiran negeri dan kabinet selama 34 tahun sejak 1984 adalah sebagai saksi kepada integriti yang ada pada saya dan keluarga. Saya tidak takut kepada sesesiapa melainkan Tuhan," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement