Anda di sini

Posa sedia untuk berundur dengan cara, proses betul

Advertisement
POSA
POSA

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais semalam mengumumkan bersedia mengundurkan diri selaku presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunannya pada 2021 melalui cara dan proses yang betul.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan mengundurkan diri hanya kerana disebabkan desakan individu atau kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri pada ketika ini. 

Tegasnya, selaku presiden FAS, beliau memikul tanggungjawab untuk memastikan beberapa misi terlaksana sebelum meninggalkan pucuk pimpinan persatuan tersebut.

“Memastikan segala hutang FAS dilunaskan. Ini bagi memastikan pucuk pimpinan baharu nanti tidak terkesan dengan bebanan hutang bagi memulakan operasi baharu exco FAS nanti.

“Memastikan semua kes-kes pecah amanah di mahkamah melibatkan FAS selesai. Ini bertujuan untuk membersihkan FAS daripada individu berkepentingan peribadi dan sebagai pengajaran kepada pucuk pimpinan baharu agar memastikan tiada kompromi terhadap tindakan salah laku seperti pecah amanah yang hanya menghancurkan FAS pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan dalam laman rasmi FAS (Sarawak FA) di sini semalam. 

Menurut Posa, tindakannya itu bukanlah sebagai jawapan kepada desas-desus komplot untuk menjatuhkan beliau oleh individu dan kumpulan tertentu.

Namun, penting bagi penyokong-penyokong setia bola sepak Sarawak tahu sekarang sudah tiba masanya FAS menyelesaikan permasalahan era kepimpinan sekarang daripada mengheret (masalah dalaman seperti hutang dan pecah amanah) kepada pucuk pimpinan baharu.

“Tindakan ini juga adalah untuk membersihkan FAS daripada gejala dan aktiviti yang tidak sihat dalam menguruskan persatuan bola sepak negeri ini,” katanya.

Advertisement