TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar kerbau di Kilometer 53.8 Kampung Pangkalan Jalan Telipok-Tenghilan di sini awal pagi semalam.
Mangsa dikenalpasti sebagai Jamius Fascon @ Jomius Jackson, 43, beralamat di Kampung Kionsom Topokon di sini.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata kejadian jam 3.40 pagi itu berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah Kota belud menuju ke Tuaran.
“Apabila tiba di lokasi kejadian mangsa terlanggar seekor kerbau yang tiba-tiba keluar dari arah kiri jalan.
“Keadaan jalan semasa kejadian adalah gelap dan tiada lampu jalan di sekitar lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya impak kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.
“Ahli keluarga mangsa sudah dikenalpasti dan mangsa adalah seorang pembantu kedai barangan elektrik di sini,” katanya.
Hamizi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.