Anda di sini

Penguatkuasaan CRS demi keselamatan anak

Advertisement
 Suriani memakaikan anaknya CRS sebelum memulakan pemanduan.
SELAMAT: Suriani memakaikan anaknya CRS sebelum memulakan pemanduan.

LAHAD DATU: Penguatkuasaan penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan yang berkuatkuasa penggunaannya mulai 1 Januari 2020 mendapat respon pro dan kontra masyarakat.

Menurut peniaga dan ibu kepada dua orang anak, Suhaini Jaenal, 33, penggunaan CRS memberi banyak manfaat kerana baginya malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan.

Katanya, dia telah menggunakan CRS sejak 2017 kerana ianya satu keperluan untuknya kekal fokus memandu dan anaknya selesa.

"Duit boleh cari tapi nyawa anak tiada galang gantinya. Bukankah malang tidak berbau?

"Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk mengurangkan risiko impak kemalangan pada anak-anak," katanya.

Suhaini awalnya menjadikan Internet untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penggunaan CRS yang akhirnya menemukan komuniti pengguna CRS yang dikenali Malaysia Carseat Support Group.

Dari situlah dia mengenali CRS, panduan pembelian, cara penggunaan malah cara menjaga CRS.

"Apa yang penting, kita ada kemahuan untuk berubah demi anak-anak. Dalam hal memiliki CRS ni kita merancang, buat tabungan sikit-sikit lama-lama cukuplah beli CRS," katanya.

Bagi Mah Chean Yi @ Momoy mula mengambil perhatian mengenai CRS apabila mengetahui pendedahan statistik kehilangan satu nyawa setiap 84 minit akibat nahas jalan raya oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

CHEAN YI
CHEAN YI

Menurutnya, langkah penguatkuasaan penggunaan CRS tidak ada kaitan dengan agenda kerajaan yang mahu membebankan rakyat melainkan agenda peribadi segelintir masyarakat.

"Bagi saya, ianya tidak membebankan kerana CRS ini dikuatkuasakan semata-mata demi keselamatan.

"Tidak diminta, tapi bila malang menimpa dan puncanya sebab tidak menggunakan CRS sudah tentu ianya akan memberi penyesalan seumur hidup sebagai ibu bapa," katanya.

Beliau merancang untuk mendapatkan CRS sebelum tahun depan demi keselamatan anaknya.

  • oleh
  • Advertisement