Anda di sini

Pemandu e-hailing tidak dibenarkan tunggu penumpang di lapangan terbang

Advertisement
 Mohd Syafiq (kiri) menerangkan sesuatu kepada seorang pemandu teksi menjalankan perkhidmatan e-hailing ketika operasi khas di Lapangan Terbang Sibu semalam.
PATUHI ARAHAN: Mohd Syafiq (kiri) menerangkan sesuatu kepada seorang pemandu teksi menjalankan perkhidmatan e-hailing ketika operasi khas di Lapangan Terbang Sibu semalam.

SIBU: Pemandu kenderaan aplikasi seru-pandu (e-hailing) tidak dibenarkan menunggu penumpang atau berpangkalan di kawasan lapangan terbang di seluruh negeri bagi mengelak kesesakan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata ini adalah dasar dikeluarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak dan semua pemandu e-hailing harus mematuhi arahan itu.

“Mereka boleh menjalankan perkhidmatan e-hailing di kawasan lapangan terbang namun dasar LPKP tidak membenarkan mereka menunggu penumpang seperti pemandu teksi.

“Buat masa ini, JPJ hanya menggunakan pendekatan ‘soft-landing’ iaitu melalui teguran dan nasihat kepada pemandu e-hailing bagi memastikan mereka mematuhi peraturan dan dasar mengenai perkhidmatan mereka.

“Pada masa akan datang, kami mengambil tindakan terhadap mereka dengan mengeluarkan kompaun,” katanya ketika ditemui semasa operasi khas di Lapangan Terbang Sibu di sini semalam.

Mohd Syafiq berkata, pemandu perkhidmatan e-hailing turut dikehendaki memiliki lesen Permit Kenderaan e-hailing (eVP)  dan Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

“Jika mereka tidak mempunyai eVP, mereka harus menghubungi pengendali perkhidmatan mereka memohon eVP kerana mereka tidak boleh berurusan secara langsung dengan CVLB.

“Ia mesti dilakukan menerusi pengendali perkhidmatan mereka,” jelasnya.

Mengenai operasi itu, beliau berkata sebanyak 195 kereta e-hailing seluruh negara diperiksa sejak operasi itu bermula pada 17 Julai lalu.

Beliau berkata, bilangan kereta didapati tanpa eVP adalah 95, tanpa PSV (37 kereta), tidak pamer disc PUSPAKOM (80 kereta) dan tanpa pelekat e-hailing (103 kereta).

Turut hadir Ketua JPJ Sibu Mohd Faizal David Jemat.

Advertisement