Anda di sini

Luahan sedih, kecewa Jamery Siga

Advertisement
JAMERY
JAMERY

LIMBANG: “Saya sudah menyumbang banyak pingat dan mengharumkan nama negara, tetapi kenapa mereka seolah-olah tak nampak sumbangan saya.”

Itulah isi hati atlet renang paralimpik negara, Jamery Siga, 34, yang begitu kecewa kerana sudah menanti hampir enam tahun untuk mendapatkan Program Bantuan Rumah (PBR), walaupun telah mendaftar dalam sistem e-Kasih sebelum ini.

Jamery yang pernah merangkul beberapa pingat emas dalam beberapa kejohanan dunia bagi Sukan Paralimpik sejak 2010, malah tersenarai di ranking kelima pada Olimpik Rio 2016 di Brazil menyifatkan permohanannya untuk mendapatkan PBR seolah-olah tidak diendahkan.

“Siapa tidak kecewa, saya sudah menyumbangkan banyak pingat dan mengharumkan nama Malaysia, Sarawak dan tempat kelahiran Limbang, namun maklum balas yang diterima amat menyedihkan,” katanya pada pertemuan bersama media semalam.

Jamery berkata, permohonan mendapatkan bantuan rumah sudah dikemukakan sejak 2014 dan terkini pada 2018 kepada wakil rakyat di kawasannya dan pihak berkaitan.

Bagaimanapun katanya, mereka meminta beliau untuk menunggu giliran berdasarkan senarai e-Kasih yang ada untuk dilaksanakan secara berperingkat.

Malah katanya, beliau juga sudah mengemas kini maklumatnya dalam sistem e-Kasihnya pada tahun lepas seperti yang diminta.

“Saya bukan atlet seumur hidup untuk terus bergelumang dalam sukan renang para.

“Bila saya bersara nanti, orang tidak akan memandang sumbangan saya lagi,” jelasnya kecewa.

Permohonan Jamery untuk  mendapatkan bantuan rumah PBR pernah dilaporkan dalam media nasional pada 2017, tetapi sehingga kini tiada maklum balas yang diterimanya.

“Sampai bila saya harus menunggu lagi... sebagai atlet paralimpik negara, inilah masa sumbangan dan pengorbanan saya dihargai,” katanya.

Jamery kini menjalani latihan intensif di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu, Sabah untuk persiapan Kejohanan Asean Para Games Manila pada Januari tahun depan dan Olimpik Tokyo pada Ogos 2020.

Advertisement