Anda di sini

Kerajaan Sarawak tetap bayar elaun JKKK - Uggah

Advertisement
UGGAH
UGGAH

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus membayar elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setelah Kerajaan Persekutuan mengesahkan akan menghentikan pembayaran pada tahun hadapan.

Ketika memberi jaminan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata elaun RM900 sebulan itu disertakan dalam Belanjawan Sarawak 2020.

"Kerajaan (Sarawak) sedar bahawa tanggungjawab serta peranan JKKK semakin bertambah dan mencabar pada ketika ini.

"Oleh itu Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM100 juta bagi memperkasakan institusi JKKK untuk membantu agar keupayaan mereka semakin mantap dan berkesan," katanya.

Berucap bagi menggulung perbahasan bagi Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini, beliau berkata pada Jun 2018, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menukar nama JKKK kepada MPKK.

"Tidak ada sebab kukuh untuk menukar nama kepada MPKK oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dipersetujui ketika itu.

"Mereka membenarkan kita kekal menggunakan JKKK dan melaksanakan peranan yang sama," jelasnya.

Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan katanya memutuskan untuk mengurangkan elaun Pengerusi JKKK kepada RM500 sebulan.

Di Sarawak, JKKK merangkumi Ketua Kaum terdiri daripada Tuai Rumah, Ketua Kampung dan Kapitan.

Kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengekalkan RM900 elaun bulanan. 

"Polisi elaun baharu bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar membayar RM500 sebulan. Kerajaan Sarawak menambah RM400 daripada dana Kerajaan Sarawak," ujarnya.

Beliau melahirkan kekesalan apabila Menteri Kerja Raya Baru Bian pada 6 November lepas, susulan pengumumannya menghentikan pembayaran elaun kepada ketua-ketua masyarakat.

"JKKK sentiasa melaksanakan peranan dengan amat berkesan, justeru kita terkejut Kerajaan PH menubuhkan MPKKP yang berperanan sama (dengan JKKK)," ujarnya.

Uggah menegaskan dengan pengumuman Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak, ia menunjukkan Sarawak 'tidak ada di hatinya'.

"Ini adalah hadiah menteri dari Sarawak kepada Sarawak. Bagaimana ada dua set pengurusan dalam satu kampung dan boleh menjejaskan keharmonian," katanya.

  • oleh
  • Advertisement