Anda di sini

Kementerian Pendidikan tekan usaha pelajar jadi usahawan luar bandar

Advertisement
 Kamel (kanan) menuai buah Golden Melon pada Majlis Perasmian Program Transformasi Minda Anak Muda Karnival Semarak Tani di Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, di teluk Intan sambil diperhatikan oleh Meor Redwan (kiri) semalam. — Gambar Bernama
BERBUDI KEPADA TANAH: Kamel (kanan) menuai buah Golden Melon pada Majlis Perasmian Program Transformasi Minda Anak Muda Karnival Semarak Tani di Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, di teluk Intan sambil diperhatikan oleh Meor Redwan (kiri) semalam. — Gambar Bernama

TELUK INTAN: Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai golongan muda terutama pelajar sekolah untuk menjadi usahawan luar bandar bertepatan dengan strategi Program Tranformasi Minda Anak Muda.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad berkata ini usahawan merupakan nadi terpenting dalam pengukuhan sosioekonomi golongan Bumiputera bagi menjadikan pertumbuhan negara makmur dan lebih berdaya saing.

“Oleh itu, Kementerian Pendidikan sebagai agensi pelaksana sedang giat melaksanakan pelbagai strategi dalam membangunkan kolej vokasional yang berasaskan pertanian untuk turut terlibat dalam industri keusahawanan dan pertanian.

“Enrolmen golongan muda untuk pendidikan dan industri berasaskan pertanian sangat rendah berbanding bidang kemahiran dan teknologi lain yang mana sehingga kini enrolmen di kolej pertanian di seluruh negara hanya 70 peratus berbanding dengan kapasiti yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Semarak Tani Kolej Vokasional Pertanian Kebangsaan di Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan di sini, semalam.

Mengenai penganjuran karnival tersebut, Kamel berkata ia bertujuan memberi galakan kepada pelajar sekolah supaya menyertai Program Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam Rancangan Malaysia ke-11.

“Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan telah melakukan transformasi pendidikan vokasional secara bersepadu dan menyeluruh di peringkat sekolah dan memberi penekanan utama di peringkat pendidikan tinggi.

“Melalui karnival ini, usaha memperkenal dan mempromosikan Kolej Vokasional Pertanian dapat menarik minat anak-anak lepasan PT3 untuk menyertai sistem pendidikan TVET ini dapat dijayakan dengan berkesan,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam diadakan antara lain bertujuan memberi maklumat mengenai bidang pertanian di Kolej Vokasional Pertanian dan laluan kerjaya serta peluang pembelajaran peringkat tertinggi. — Bernama

Advertisement