Anda di sini

Sarawak terima 3.76 juta pelancong setakat Oktober tahun ini

Advertisement
 Abdul Karim menunjukkan dokumen bersama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting (dua kanan) dan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan (dua kiri) serta pegawai kementeriannya.
TEKS UCAPAN: Abdul Karim menunjukkan dokumen bersama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting (dua kanan) dan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan (dua kiri) serta pegawai kementeriannya.

KUCHING: Sarawak menerima 3.76 juta ketibaan pelancong dengan peningkatan sebanyak 4.59 peratus setakat Oktober tahun ini, berbanding tempoh sama pada 2018.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, majoriti pelancong yang datang ke Sarawak adalah dari Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina, Singapura dan China.

“Justeru, sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, Sarawak menyasarkan untuk mencapai lima juta ketibaan pelancong dengan RM8.18 bilion pendapatan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Abdul Karim berkata, acara merupakan faktor penting dalam pembangunan pelancongan dari segi meningkatkan kehadiran pelancong, mempromosikan destinasi dan merangsang ekonomi sampingan.

Oleh itu katanya, kementeriannya telah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, pemain industri pelancongan dan masyarakat setempat untuk menganjurkan banyak acara pelancongan penting pada 2019.

“Salah satunya ialah penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di mana acara yang memasuki edisi ke-22 tahun ini, berjaya mencatat seramai 23,650 pengunjung dari seluruh pelosok dunia,” ujarnya.

Menurutnya, lebih 100 pemain terdiri daripada 39 kumpulan muzik dari lebih 20 negara mengambil bahagian pada RWMF yang diadakan dari 12 hingga 14 Julai lalu.

“Untuk makluman, acara ini juga berjaya menarik kehadiran 600 orang dalam kalangan media nasional dan antarabangsa dengan liputan media telah mencecah 5.4 juta penonton,” katanya.

Bagi melengkapkan RWMF, beliau berkata, dua acara lain turut diadakan bagi meningkatkan penglibatan masyarakat tempatan dalam festival tahunan tersebut.

Dua acara yang diadakan sebelum RWMF katanya, ialah ‘Rainforest in the City’ dan ‘Rainforest Fringe Festival’.

“Kedua-dua acara ini telah menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat tempatan,” tambahnya.

Abdul Karim berkata, terdapat banyak acara penting lain disokong  kementeriannya termasuk Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak, Kejuaraan Golf Amatur Terbuka Malaysia Ke-117, Festival Jazz Borneo, Festival Budaya Borneo, Maraton Kuching, Festival Tarian Antarabangsa Sibu, Best of ASEAN Designers dan 4th Sarawak International 4X4 Jamboree.

“Selain itu, Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Sarawak, Kuching Waterfront Jazz Festival, 10th Asian Bird Fair, What About Kuching, Borneo International Kite Festival, Sarawak Spartan Race, Festival Regata Bot Naga Antarabngsa Sarawak, Pesta Benak, Sarawak Regata, Rainforest World Puppet Carnival, Miri Country Music Festival, Sitok Kuching dan Ambang Tahun Baharu 2020,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan terus menyokong dan menggalakkan agensi kerajaan dan sektor korporat menganjurkan acara dan festival antarabangsa dan ikonik bagi  menarik kedatangan pelawat dari seluruh dunia.

Advertisement