Anda di sini

Belum ada pekeliling bertulis larang pemimpin GPS melawat sekolah - Manyin

Advertisement
Manyin menjelaskan isu berhubung WhatsApp larangan pemimpin GPS memasuki sekolah KPM pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungnya bagi kementeriannya di DUN, hari ini.
Manyin menjelaskan isu berhubung WhatsApp larangan pemimpin GPS memasuki sekolah KPM pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungnya bagi kementeriannya di DUN, hari ini.

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) setakat ini belum mengeluarkan notis pekeliling bertulis melarang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) melawat atau menghadiri majlis anjuran sekolah di bawah KPM di negeri ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong sambil menambah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak hanya menerima notis berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

"JPN Sarawak memaklumkan, mereka hanya menerima pekeliling ini menerusi WhatAspp dan pengarah pendidikan sebenarnya telah mengadakan mesyuarat dengan ketua setiausaha (KPM) dan mereka berjanji mengeluarkan pekeliling bertulis.

"Sehingga hari ini, Pengarah Pendidikan Sarawak atau JPN Sarawak belum menerima pekeliling bertulis tetapi apa yang dikatakan dalam WhatsApp adalah benar. Saya juga ada menerima (WhatsApp) jadi kita menunggu pekeliling bertulis," katanya.

Manyin (GPS-Tebedu) memaklumkan, pemimpin GPS boleh melawat dan menghadiri majlis anjuran sekolah KPM tetapi tidak dibenarkan memberi ucapan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Henry Harry Jinep (GPS- Tasik Biru) semasa menyampaikan ucapan Penggulungan bagi Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Henry memohon penjelasan Manyin berhubung satu WhatsApp dari seorang Guru Besar di konstituensinya memaklumkan JPN Sarawak tidak meluluskan lawatannya ke sekolah berkenaan.

"Sebenarnya ini adalah arahan KPM atas keputusan kabinet persekutuan. Jadi JPN Sarawak ketika ini mengemukakan rayuan agar menarik balik keputusan itu.

Menjawab soalan Henry sama ada pemberian geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada sekolah di bawah KPM dihentikan berikutan WhatsApp itu, Manyin berkata perkara itu perlu diteliti dengan serius.

"Kita perlu berfikir dengan serius apa yang ditulis dalam WhatsApp, kita dibenarkan melawat sekolah, tidak boleh berucap tetapi kita amat dialu-alukan menyumbang.

"Jika kita membalas perkara tidak baik dengan perkara tidak baik (tit for tat), yang menjadi mangsa paling terkesan ialah rakyat Sarawak, pelajar kita...Mungkin ini apa yang PH (Pakatan Harapan) inginkan," katanya.

Irene Chang (PH-Bukit Asek) turut mempersoalkan niatnya untuk menyumbang kepada program bercakap bahasa Inggeris ditolak pengarah pendidikan negeri pada 2018 ketika KPM di bawah kerajaan terdahulu.

"Kementerian ditubuhkan pada 7 Mei 2017. Jadi saya tidak mempunyai kuasa dan sebagai maklumat mengenai perkara itu.

"JPN negeri tidak memaklumkan kepada kami (kementerian) kerana pendidikan di bawah kerajaan persekutuan dan di bawah Senarai Persekutuan," katanya.

Tambahnya, "Saya amat berterima kasih kepada YB (Irene) kerana sudi membantu tetapi itu pada masa lalu dan saya tidak dimaklumkan."

  • oleh
  • Advertisement