Anda di sini

Warga emas nyaris dipatuk ular tedung selar

Advertisement
Ibrahim menunjukkan bangkai ular yang berjaya dibunuh ketika sedang merayap di luar rumahnya di Kemuyang, di sini pagi tadi.
Ibrahim menunjukkan bangkai ular yang berjaya dibunuh di luar rumahnya di Kemuyang, pagi tadi.

SIBU: Seorang lelaki warga emas nyaris dipatuk ular berbisa dipercayai ular tedung selar di kediamannya di Jalan Kemuyang, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 7 pagi itu, Ibrahim Tahir, 70, hendak membuka pintu utama untuk mematikan suis lampu di luar rumahnya.

Menurut Ibrahim, ketika pintu utama rumah dibuka, beliau terserempak dengan ular berkenaan yang sedang merayap di luar rumah.

"Mujur ada sebatang kayu yang agak panjang terletak berhampiran ketika itu dan saya terus gunakannya untuk memukul ular tersebut hingga mati," katanya.

Ibrahim berkata, sebelum ini beliau juga pernah beberapa kali nampak ular cuba menyelinap masuk ke dalam rumahnya.

Bagaimanapun hasil tindakan pantas, beliau berjaya menggagalkan cubaan reptilia berkenaan daripada memasuki ke dalam kawasan rumahnya.

Jelas Ibrahim, beliau tidak menolak binatang tersebut datang dari kawasan semak berhampiran rumahnya yang tumbuh meliar.

"Mereka (pihak berkuasa tempatan) boleh datang ke kawasan kediaman kami di sini untuk melihat sendiri rumput panjang yang tidak dipotong, mungkin dihuni oleh haiwan berbisa seperti ular tedung.

"Sebelum ini, penduduk di sini juga mengadu pernah terserempak seekor ular hitam sedang menjalar di jalan raya," ujar beliau lagi.

Menurut Ibrahim, kegagalan PBT menangani perkara tersebut secara sistematik turut menjejaskan kualiti hidup penduduk di situ sejak sekian lama.

Katanya, rata-rata penduduk di situ tidak berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan rumput serta longkang kediaman mereka.

Masalah itu bertambah serius, terutamanya di kawasan rumah yang tidak berpenghuni hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai keselamatan diri dan keluarga mereka yang tinggal berdekatan.

"Untuk menangani masalah itu, saya berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera kerana jika tindakan lambat diambil, masalah ini juga boleh mengakibatkan pelbagai penyakit antaranya demam denggi," ulas beliau lagi.

Katanya, rumput yang panjang perlu dipotong segera manakala longkang yang bertakung perlu dibersihkan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

  • oleh
  • Advertisement