Anda di sini

UNION laksana 89 program melibatkan 27,921 peserta sejak penubuhan 

Advertisement
TALIB
TALIB

KUCHING: Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) berjaya menjalankan 89 program melibatkan 27,921 peserta sejak penubuhannya bagi memastikan pembudayaan integriti dapat disemai terutamanya dalam kalangan warga perkhidmatan awam. 

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Talib Zulpilip berkata, bagi tahun ini, sehingga 1 November, sebanyak 41 program dilaksanakan melibatkan seramai 12,136 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Jelas beliau, antara program yang dijalankan adalah Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI2019), Program Certified Integrity Officer (CeIO), Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau, Program Integriti Alam Sekitar dan Program khusus untuk kanak-kanak 'Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya'.

"Justeru, amatlah penting penjawat awam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya supaya rakyat terus meyakini pentadbiran dan kepimpinan negara," katanya pada sesi penggulungan Kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini hari ini. 

Pada masa sama, Talib memberitahu, bagi memastikan pembudayaan integriti disemai dalam kalangan warga perkhidmatan awam negeri, UNION akan meneruskan beberapa siri program Etika dan Integriti serta Program Do The Right Thing.  

Beliau menjelaskan, kedua-dua program itu menyasarkan kumpulan pengurusan dan profesional serta pelaksana bagi memastikan mesej integriti sampai kepada semua peringkat pentadbiran dan menjadi amalan di tempat kerja serta dalam kehidupan seharian.  

Selain itu, katanya, beberapa siri program The Integrity Coffee Talk juga akan terus dilaksanakan. 

"Program ini bertujuan untuk mengupas isu-isu semasa berkaitan integriti kepada semua penjawat awam negeri di setiap bahagian," tegasnya. 

Menurut Talib lagi, pendidikan integriti sangat penting untuk melahirkan modal insan yang berkualiti melalui pembangunan minda kelas pertama, pembentukan sikap yang terpuji, dan tingkah laku yang murni. 

"Suka saya tegaskan di sini pendidikan dan pembudayaan integriti seharusnya bermula dari peringkat awal kanak-kanak kerana kanak-kanak ibarat kain putih, maka kitalah ahli-ahli yang berhormat, ketua-ketua masyarakat dan masyarakat secara keseluruhannya yang akan mencorak warnanya. 

"Pelbagai program telah dirancang yang melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. 

"Oleh itu, kita amat berbesar hati dan berharap agar usaha murni ini terus mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement