Anda di sini

UMS giat laksana usaha lindungi spesies terancam, pulihara alam

Advertisement
 Shafie (empat kanan) menerima cenderahati daripada Taufiq (empat kiri) selepas kunjungan berkenaan.
CENDERAHATI: Shafie (empat kanan) menerima cenderahati daripada Taufiq (empat kiri) selepas kunjungan berkenaan.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa giat menjalankan usaha pemuliharaan dalam menangani isu ancaman hidupan liar di negeri ini.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, kajian melibatkan pembiakan spesies badak sumbu Sumatera antara inisiatif yang sentiasa dijalankan UMS.

Menurutnya, walaupun pernah gagal dalam menjalankan proses pembiakan spesies berkenaan, pihaknya tetap komited untuk melaksanakan usaha pemuliharaan hidupan liar terbabit.

"Memandangkan badak sumbu Sumatera hanya tinggal satu sahaja di Sabah, kita akan berusaha mendapatkan sperma dari badak sumbu jantan yang lain.

"Langkah ini bagi menjalankan proses persenyawaan untuk menambahkan lagi spesies badak sumbu Sumatera di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di sini semalam.

Taufiq berkata, usaha pemuliharaan lain khususnya dari segi perhutanan turut giat diperkasakan UMS.

Katanya, langkah itu bagi memastikan kawasan perhutanan di negeri ini masih terjaga dan terpelihara dengan baik.

Dalam pada itu, semasa kunjungan berkenaan Taufiq menjelaskan berhubung Hari Konvokesyen UMS yang dijalankan buat kali ke-21 tahun ini bermula 23 hingga 25 November depan.

"Tahun ini, kita ada seramai 4,157 graduan dan 62 peratus daripadanya adalah graduan anak Sabah dan seramai 123 lagi graduan antarabangsa.

"Kerajaan negeri terutama Ketua Menteri sentiasa memberikan komitmen yang sangat baik kepada UMS.

"Ini seiring dengan usaha untuk terus bersama membangunkan universiti terutama meningkatkan keupayaan UMS ke peringkat antarabangsa," katanya.

  • oleh
  • Advertisement