Anda di sini

Ratusan Sikh ziarah makam Guru Nanak di Pakistan

Advertisement
 Penganut Sikh dari India berduyun-duyun melawat Gurdwara Darbar Sahib di Kartarpur, Pakistan kelmarin. — Gambar Reuters
TERUJA: Penganut Sikh dari India berduyun-duyun melawat Gurdwara Darbar Sahib di Kartarpur, Pakistan kelmarin. — Gambar Reuters

KARTARPUR: Ratusan orang Sikh dari India melakukan ziarah bersejarah ke Pakistan kelmarin, dengan melintasi sebuah pagar putih untuk sampai ke salah satu tapak paling suci dalam agama mereka, selepas satu perjanjian bersejarah dimeterai kedua-dua negara yang dipisahkan oleh pembahagian benua kecil berkenaan pada 1947.

Orang Sikh bersorak dan berjalan dengan gembira sekali di sepanjang jalan dari Dera Baba Nanak di India menuju ke dewan imigresen baharu yang akan membenarkan mereka untuk berjalan melalui sebuah koridor darat yang selamat ke dalam negara Pakistan, dalam satu contoh kerjasama yang amat jarang sekali berlaku di antara kedua-dua negara senjata nuklear itu yang berpecah-belah selepas bermusuhan selama berdekad-dekad.

Beberapa bapa berlari sambil membawa anak-anak mereka di atas bahu mereka.

Bas menunggu di sebelah Pakistan untuk membawa mereka di sepanjang koridor ke makam pengasas Sikh Guru Nanak yang terletak di Kartarpur, sebuah bandar kecil hanya empat kilometer sahaja di dalam Pakistan di mana guru itu dipercayai telah meninggal dunia.

“Amnya orang kata Tuhan ada di mana-mana tetapi perjalanan ini rasa seperti saya akan terus mendapatkan restu dari Guru Nanak,” kata Surjit Singh Bajwa kepada AFP ketika dia berjalan ke arah koridor, sambil menangis.

Pada usia 78 tahun, dia adalah lebih tua berbanding India dan Pakistan, yang sudah terbabit dalam tiga peperangan dan hampir mencetuskan peperangan keempat pada awal tahun ini.

Bagi seramai 30 juta orang Sikh di dunia, makam berkubah putih berkenaan merupakan salah sebuah tapak mereka yang paling suci.

Bagaimanapun bagi orang Sikh di India, ia sentiasa begitu dekat., malah begiu dekat sehinggakan mereka dapat berdiri di sempadan dan menatap empat menaranya, tetapi tidak dapat dilawati selama berdekad-dekad.

Ketika Pakistan dibentuk daripada negara jajahan India pada hujung pemerintahan Britain pada 1947, Kartarpur akhirnya terletak di sebelah barat sempadan, manakala kebanyakan orang Sikh di wilayah berkenaan kekal di seberang sempadan.

Sejak itu, permusuhan yang tidak berkesudahan di antara India dengan Pakistan telah menjadi halangan yang konsisten bagi mereka yang mahu melawat gurdwara tersebut.

Penziarah di kedua-dua belah sempadan berharap koridor berkenaan dapat meredakan ketegangan di Asia Selatan.

“Dari segi hubungan antara kerajaan, segalanya adalah kebencian tetapi dari segi hubungan antara bangsa-bangsa, segalanya adalah kasih sayang,” kata salah seorang penziarah Sikh, yang tidak memberitahu namanya, kepada TV kerajaan Pakistan ketika dia merentasi sempadan.

Di antara penziarah pertama adalah mantan perdana menteri India, Manmohan Singh, yang memberitahu media kerajaan Pakistan bahawa ia adalah “saat yang penting”.

Pembukaan itu malah mengilhamkan mesej kesyukuran daripada Perdana Menteri India Narendra Modi kepada rakan sejawatannya di Pakistan Imran Khan kerana “menghormati sentimen India”.

Khan pula berkata satu hari akan datang “apabila hubungan kita dengan India akan bertambah baik”.

“Saya harap ini adalah permulaannya,” katanya kepada penziarah di makam berkenaan.

Selama bertahun-tahun India sudah meminta kepada Pakistan untuk memberi akses kepada orang Sikh ke makam berkenaan.

Ramai percaya ia telah berlaku sekarang kerana persahabatan di antara Khan, seorang pemain kriket yang pernah memenangi Piala Dunia dan seterusnya menjadi ahli politik, dengan Navjot Singh Sidhu dari India - seorang lagi pemain kriket yang menjadi ahli politik.

“Apabila Sidhu meminta saya membuka sempadan, saya menyimpannya di dalam fikiran saya,” kata Khan kepada penganut kelmarin.

Beliau membandingkan situasi iu dengan orang Muslim yang dapat melihat tapak suci di Medina, tetapi tidak pernah melawatnya.

Pembukaan itu berlangsung hanya beberapa hari sahaja sebelum hari kelahiran Guru Nanak yang ke-550 pada 12 November - ulang tahun dengan makna yang amat besar bagi masyarakat Sikh di seluruh dunia, dan mungkin juga telah memainkan peranan dalam masa berkenaan.

Orang Sikh dari seluruh dunia sudah beberapa hari tiba di Pakistan menjelang perayaan berkenaan.

Kira-kira 7,000 orang berada di makam berkenaan untuk mendengar ucapan Khan, tetapi ia adalah tidak jelas berapa ramai yang telah datang menerusi koridor berkenaan dan berapa ramai yang tiba dari tempat lain.

Pegawai India berkata hanya 700 sahaja dijangka menyeberangi merentasi sempadan menerusi koridor berkenaan kelmarin.

Ramai tidak dapat mengawal emosi, ada yang menangis. Ada juga yang bergambar untuk swafoto di depan kirpan gergasi berwarna emas dan perak, pedang yang mesti dibawa oleh orang Sikh bersama mereka pada setiap masa sebagai satu perkara dalam kepercayaan mereka.

Agama Sikh bermula pada abad ke-15 di Punjab, sebuah wilayah yang merangkumi Kartarpur dan terbahagi pada hari ini di antara India dan Pakistan, apabila Guru Nanak mula mengajar agama yang mengajar tentang kesamarataan.

Kira-kira 20,000 orang Sikh masih tinggal di Pakistan selepas jutaan lari ke India ekoran keganasan agama berdarah yang dicetuskan oleh pembahagian negara, yang melancarkan migrasi massa terbesar dalam sejarah manusia dan menyebabkan kematian sekurang-kurangnya sejuta manusia.

“Kehidupan adalah singkat,” kata salah seorang penziarah dari India, Davinder Singh Wadah.

“Semua orang akan mati, jadi kenapa tidak menikmati kehidupan dan jadikan dunia ini sebuah syurga, dan saya rasa inisiatif ini adalah permulaannya.” — AFP

Advertisement