Anda di sini

Kerajaan negeri melaksanakan 322 projek bekalan air di bawah Projek Rakyat

Advertisement
Dr Rundi menunjukkan teks ucapan penggulungannya yang dibaca pada Persidangan DUN, hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi 
Dr Rundi menunjukkan teks ucapan penggulungan Kementerian Utiliti yang dibacanya pada Persidangan DUN, hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi 

KUCHING: Kementerian Utiliti melaksanakan 322 projek bekalan air di bawah Projek Rakyat bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan bertekanan rendah dan tiada akses kepada air bersih di seluruh Sarawak.

Menterinya Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata kementerian itu mensasar 266 daripada projek berkenaan akan disiapkan menjelang 2020.

Bagaimanapun ujarnya, beberapa masalah bekalan yang lebih kompleks mungkin hanya disiapkan pada 2021.

"217 daripada projek-projek ini, bernilai RM2 bilion telah dianugerah dengan 87 projek berskala kecil telah siap dan bakinya masih dilaksanakan dalam pelbagai peringkat.

"Saya gembira dengan siapnya 87 projek ini, masalah bekalan air di kawasan-kawasan tertentu berjaya diatasi," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Utiliti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dr Rundi (GPS-Kemena) menambah sembilan lagi projek berjumlah RM417 juta masih di peringkatan penilaian tender manakala 40 lagi projek masih di peringkat reka bentuk.

Beliau memberitahu apabila projek-projek berkenaan siap, terdiri daripada pembinaan loji rawatan air, saluran paip, takungan dan stesen penggalak ia akan mengurangkan isu bekalan air dengan meningkatkan isipadu dan tekanan air di kawasan bermasalah.

Selain itu katanya Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah berjaya menyiapkan kerja-kerja pengantaraan di kawasan-kawasan yang sudah lama mengalami masalah bekalan air.

"Ingin saya maklumkan, kerja-kerja pengantaraan ini telah menyelesaikan masalah di beberapa kampung antaranya di Siburan, Kabong, Meradong, Balingian dan Sg. Asap," katanya.

Menyentuh Pelan Induk Bekalan Air Sarawak, Dr Rundi berkata ia dijangka siap pada penghujung tahun ini dan akan mula dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menurutnya Lembaga Air Kuching (LAK) akan menjadi pihak berkuasa bekalan air utama bagi cadangan grid air bagi wilayah selatan, manakala Lembaga Air Sibu (SWB) bertanggungjawab kepada wilayah tengah dan LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) untuk wilayah utara.

"Pelan Induk ini juga menjadi strategi untuk komuniti terpencil di luar bandar dengan sasaran mencapai liputan 100 peratus pada menjelang 2025," katanya.

Mengenai program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS), Dr Rundi berkata kira-kira RM135 juta telah diperuntukkan untuk fasa seterusnya program berkenaan di bawah Projek Rakyat.

Beliau berkata pelaksanaan SAWAS akan menyumbang kepada sasaran mencapai liputan sepenuhnya bekalan air bersih di Sarawak menjelang 2025.

  • oleh
  • Advertisement