Anda di sini

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan melakukan penjenamaan destinasi pelancongan

Advertisement
Pemandangan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dari atas - Gambar fail Bernama
Pemandangan Bangunan DUN Sarawak dari atas - Gambar fail Bernama

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan melakukan penjenamaan destinasi pelancongan sebagai kesinambungan kepada Kempen Melawat Sarawak tahun depan.

Menterinya, Datuk Abdul Karim berkata, langkah strategik baharu itu akan mensasar pasaran di United Kingdom, Jerman, Belanda dan Australia.

"Pasaran ini akan memanfaatkan lebih banyak pengamal media dan perhubungan awam (PR), dengan jenama lebih kuat tampil melalui pengiklanan digital, penyiaran dan cetak.

"Pelantikan agensi PR akan menjadi cara strategik untuk memastikan destinasi itu dilihat dan didengar," katanya ketika membentangkan ucapan penggulungan Kementerian beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini

Abdul Karim menambah kempen penjenamaan destinasi itu juga akan dirangsangkan menggunakan mesej yang disampaikan oleh para selebriti, pemimpin pendapat dan orang yang berpengaruh.

“Bagaimanapun, promosi digital masih digunakan menerusi platform media sosial termasuk mengekalkan penyertaan dalam pameran serta jerayawara pelancongan antarabangsa selain membangunkan kegiatan lawatan yang berkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, Sarawak akan meneroka pasaran India dalam usaha menarik kehadiran pelancong itu ke negeri ini.

Ia katanya, akan dilakukan dengan memberi tumpuan kepada bandar-bandar selatan berikutan mempunyai lebih banyak akses penerbangan ke Malaysia.

“Pasaran ini telah menunjukkan peningkatan berterusan dalam ketibaan sejak bertahun-tahun. Justeru, kita akan mengkaji kemungkinan perkongsian dengan pengendali pelancongan Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang mengkhusus di pasaran India.

Menyentuh mengenai aksesibiliti dan hubungan udara, Abdul Karim berkata Royal Brunei Airlines memulakan penerbangan terus dari Bandar Seri Begawan ke Kuching pada Disember tahun lepas dan penerbangan itu menunjukkan faktor muatan yang sangat positif

“Untuk rekod, jumlah penumpang hingga September dicatatkan seramai 19,799 orang dengan menyaksikan bilangan penumpan tertinggi adalah dari warga Brunei seramai 13,483 diikuti rakyat Malaysia pada 4,562 orang dan selebihnya ialah rakyat Australia, Cina dan British,” jelasnya.

Menurutnya, syarikat penerbangan itu baru sahaja memulakan penerbangan terus ke Bintulu pada 5 November dan seterusnya ke Sibu yang dijadualkan pada 14 November.

“Malah, kerjasama pemasaran dengan AirAsia, Scoot, Malaysia Airlines dan Malindo Air juga sedang berjalan bagi mempromosikan perbangan ke Sarawak meskipun bukan semestinya penerbangan langsung,” katanya

  • oleh
  • Advertisement