Anda di sini

Jabatan Ketua Menteri jadi perintis penyediaan Pelan AntiRasuah Organisasi

Advertisement
Talib menunjukkan teks ucapan penggulungan Kementerian di lobi Kompleks DUN, hari ini.
Talib menunjukkan teks ucapan penggulungan Kementerian di lobi Kompleks DUN, hari ini.

KUCHING: Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sarawak menjadi perintis dalam penyediaan Pelan AntiRasuah Organisasi (OACP).

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, draf OACP JKM sedang dalam proses pemurnian oleh Institut Integriti Malaysia.

"Justeru, Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) akan melatih pegawai integriti bertauliah (CeIO) untuk menjadi fasilitator kepada kementerian, jabatan dan pentadbiran Bahagian bagi penyediaan OACP masing-masing," katanya pada sesi penggulungan Kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini hari ini. 

Menurut Talib lagi, berdasarkan strategi kedua Pelan Antirasuah Nasional iaitu Memperkukuhkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam mewajibkan semua agensi sektor awam untuk menyediakan OACP selewat-lewatnya Jun 2020.  

"OACP merupakan satu dokumen dasar anti rasuah di peringkat organisasi dengan tujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi," jelasnya. 
 
Pada masa sama, beliau memberitahu, dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak, kerajaan akan terus memastikan prinsip tadbir urus terbaik dilaksanakan iaitu telus, akauntabiliti dan berintegriti dalam semua urusan. 

Ekoran itu, katanya, kerajaan telah membuat keputusan untuk semua agensi menyediakan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), OACP dan Sistem Pengurusan AntiRasuah (ABMS).

Mengulas tentang CRM, katanya, ia merupakan alat pengurusan bagi menangani rasuah secara proaktif. 

Jelas beliau, ia dapat membantu pihak pengurusan jabatan untuk mengenalpasti masalah yang mungkin berlaku dan seterusnya mengambil tindakan yang bersesuaian untuk mengawal dan membendung kemungkinan berlakunya rasuah.  

"Setakat ini, 26 daripada 48 agensi negeri telah membangunkan CRM masing-masing dan selebihnya akan disiapkan pada akhir tahun ini," tambahnya. 

Selain itu, beliau memberitahu, 'MS ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System' adalah sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi bagi mengesan, mencegah, mengendali, menguat kuasa, menilai serta menambah baik langkah pengurusan anti rasuah secara berkesan.  

"Standard ini direka untuk membantu organisasi bagi membuktikan kepada pihak berkepentingan bahawa mereka mempunyai amalan dan inisiatif anti rasuah yang mencukupi dan dilaksanakan sebaiknya. 

"Setakat ini DBKU telah mendapat pensijilan untuk ABMS manakala PUSAKA masih dalam proses untuk pensijilan. 

"Saya percaya dengan sokongan padu daripada pucuk pimpinan kerajaan dan komitmen perkhidmatan awam serta seluruh anggota masyarakat akan dapat merealisasikan matlamat kearah negeri bebas rasuah dan berintegriti," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement