Anda di sini

Dua maut dalam kebakaran rumah di Sibu

Advertisement
Kebakaran yang meragut nyawa dua individu di Sibu
Kebakaran yang meragut nyawa dua individu di Sibu

SIBU: Dua lelaki maut dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong 16, Rejang Park, Jalan Persiaran Brooke di sini awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, salah seorang mangsa dikenali sebagai Law Yew Hing lelaki, 52, manakala identiti seorang lagi individu belum dikenal pasti. 

Wan Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 2 pagi.

Ujarnya, sebanyak tiga jentera pemadam (FRT) dan dua buah ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sentral dan Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Setiba lokasi, anggota penyelamat telah dimaklumkan bahawa terdapat dua orang mangsa sedang terperangkap di dalam rumah berkenaan.

"Anggota penyelamat berkenaan kemudian terus melakukan operasi pemadaman sebelum masuk ke dalam rumah tersebut untuk mencari kedua-dua mangsa yang dilaporkan terperangkap," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Menurut Wan Kamaruddin, kedua-dua mangsa ditemui di dalam tandas oleh pasukan penyelamat selepas kebakaran berjaya dikawal.

Katanya, kedua-dua mangsa terbabit bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Hospital Sibu.

Turut hadir di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu dan syarikat utiliti, Sesco.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • oleh
  • Advertisement