Anda di sini

Pengurangan SRR langkah bank pusat sokong momentum pertumbuhan, kata pakar ekonomi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) adalah sebahagian daripada langkah taktikal bank pusat untuk menyokong momentum pertumbuhan sejajar dengan daya pasaran.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengurangan SRR itu bertujuan menyediakan mudah tunai tambahan kepada sistem kewangan supaya bank mempunyai lebih banyak kecairan untuk dimanfaatkan kerana penyimpanan dana seperti SRR tidak memberi sebarang pulangan kepada mereka.

“Sehubungan itu, mudah tunai tambahan akan membantu merangsang aktiviti pinjaman pada sesuatu masa apabila pertumbuhan pinjaman pada kadar sederhana sebanyak 3.8 peratus pada September daripada 7.5 peratus pada Januari tahun ini.

“Dengan menggunakan angka September untuk mengukur berapa banyak (pengurangan SRR) ia akan menambah mudah tunai ke dalam sistem. Jumlah mudah tunai yang akan dikeluarkan dianggarkan sebanyak RM7.4 bilion apabila SRR dikurangkan daripada 3.5 peratus kepada 3 peratus,” katanya kepada Bernama kelmarin.

Mohd Afzanizam berkata ia juga akan mengurangkan kos dana bank walaupun sedikit memandangkan menyimpan tunai sebagai keperluan berkanun merupakan kos lepas kepada bank.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi IQI Global, Shan Saeed berkata daya pasaran menjangka BNM akan mengurangkan kadar faedah pada tahun depan.

“Seperti yang anda sedia maklum, 41 bank pusat (di peringkat global) telah mengurangkan kadar potongan pada tahun ini sahaja. Jadi, kami juga telah beralih ke arah menurunkan rejim kadar faedah sebagaimana di peringkat global.

“Dengan mengambil kira keadaan itu, saya berpendapat BNM telah mengambil langkah yang sejajar dengan daya pasaran dan dijangka membantu merancakkan momentum pertumbuhan di peringkat makro. Langkah strategi yang baik daripada BNM,” katanya.

Beliau berkata di peringkat global, bank pusat telah mengambil tanggungjawab secara sendirian untuk menghasilkan kesan ekonomi di peringkat semasa dan dasar monetari yang berhemah telah menjadi teras dasar yang berkesan bagi menangani impak di peringkat makro.

Dalam kenyataan kelmarin BNM mengumumkan bahawa Nisbah SRR akan diturunkan kepada 3.00 peratus daripada 3.50 peratus berkuat kuasa 16 November, 2019.

“Keputusan untuk mengurangkan SRR diambil untuk memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik. Langkah ini akan terus menyokong pasaran kewangan domestik untuk berfungsi dengan cekap serta memudahkan pengurusan mudah tunai yang berkesan oleh institusi perbankan.

“SRR merupakan instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan bukan menandakan pendirian dasar monetari. Kadar Dasar Semalaman (OPR) ialah satu-satunya penunjuk pendirian dasar monetari yang diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari,” kata BNM. — Bernama

Advertisement