Anda di sini

Penganjuran Muzika Ekstravaganza tidak menghampakan

Advertisement
 Gobind dan S. Iswaran bergambar bersama artis dari Malaysia dan Singapura selepas berakhirnya Muzika Ekstravaganza baru-baru ini. — Gambar Bernama
MUZIKA EKSTRAVAGANZA: Gobind dan S. Iswaran bergambar bersama artis dari Malaysia dan Singapura selepas berakhirnya Muzika Ekstravaganza baru-baru ini. — Gambar Bernama

KERJASAMA erat yang terbina selama 13 tahun antara stesen penyiaran Malaysia dan Singapura terbukti apabila berjaya menjayakan program kerjasama Muzika Ekstravaganza di luar tempat acara itu biasa diadakan.

Kebiasaannya, program penerbitan bersama Mediacorp dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tersebut diadakan di studio Mediacorp setiap kali giliran republik itu menjadi tuan rumah yang berselang seli dengan Malaysia.

Kehadiran penonton juga tidak menghampakan dengan kira-kira seribu rakyat Singapura memenuhi dewan di Suntec City Convention Centre ini.

“Tahun ini sedikit mencabar kerana kami perlu membawa Muzika keluar dari studio Mediacorp ke tempat yang lebih besar dan dapat menempatkan lebih ramai penonton, “ kata Ketua Audiens Melayu & Eaglevision, Mediacorp, Sabariah Ramilan kepada Bernama dan RTM.

Beliau juga amat berharap lokasi penganjuran Muzika juga dapat dilakukan di negeri-negeri lain di Malaysia pada giliran penganjuran negara itu tahun hadapan.

“Mungkin di Kuching, Sarawak,” katanya.

Mengulas hubungan kedua-dua stesen, Sabariah berkata, “Persahabatan antara Malaysia dan Singapura sudah lama terjalin. Kami telah mula kerjasama sejak tahun 2004. Jadi ini adalah kali ke 13. Kita sebagai sahabat kedua-dua negara.. kedua-dua stesen amat erat.”

Sabariah juga berkata kedua-dua stesen sentiasa cuba mendapatkan idea-idea baru dan cara persembahan yang baru untuk menambahkan lagi penonton kedua-dua negara untuk menikmati Muzika Ekstravaganza pada masa akan datang.

Tetamu kehormat Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura S. Iswaran dan rakan sejawatan dari Malaysia Gobind Singh Deo hadir menyaksikan Muzika yang disiarkan secara langsung oleh Mediacorp Suria dan RTM di saluran TV2.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Abdul Muis Shefii berkata reaksi awal selepas program Muzika ini adalah baik kerana ia dapat memenuhi kerjasama antara dua stesen dari dua buah negara untuk menghasilkan satu program dengan jayanya.

Tambahan lagi acara kali ini berlangsung di luar studio Mediacorp namun kerjasama baik dapat dilihat antara kedua-kedua petugas Mediacorp dan RTM.

Program penerbitan bersama Mediacorp dan RTM kali ini melibatkan dua pengarah muzik Syawal Kassim dari Singapura dan Luqman Aziz dari Malaysia bersama 12 orang artis, enam dari setiap negara.

Dihoskan Singapura pada tahun ini, Muzika turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi dan Penerangan Singapura Yong Ying-I dan rakan sejawatan dari Malaysia Datuk Suriani Ahmad.

Hadir sama para pegawai dari Malaysia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Nurini Kassim, Ketua Pengarah Penerangan Roselindawati Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Bertemakan ‘Move to the Groove (Mari Kita Gelek)’, Muzika yang bermula pada tahun 2005 itu, mempamerkan evolusi muzik dan tarian, Singapura dan Malaysia.

Dihoskan pengacara Singapura, Najib Ali berganding dengan penyanyi dan pengacara Malaysia, Nana Mahazan, Muzika Ekstravaganza menampilkan persembahan yang mempunyai pengaruh di rantau ini dan dunia seperti muzik Latin dan K-Pop oleh penyanyi dari kedua-dua negara, termasuk Taufik Batisah, Rahimah Rahim, Hetty Sarlene, Waris, Jay Jay dan Gerhana Ska Cinta.

— Bernama

Advertisement