Anda di sini

20 syarikat Malaysia sertai Ekspo Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua puluh syarikat Malaysia akan menyertai Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2019 menerusi Misi Peningkatan Eksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ke Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mulai 11 hingga 14 November.

Penyertaan tinggi oleh syarikat Malaysia itu menunjukkan minat mereka dalam mengembangkan kedudukan eksport masing-masing di rantau Asia Barat walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global, menurut MATRADE dalam kenyataan semalam.

MATRADE, sebagai agensi penggalakan perdagangan negara, telah menganjurkan penyertaan Malaysia dalam ADIPEC sejak 2010.

MATRADE berkata Pavilion Malaysia di ADIPEC 2019 akan mempromosikan pelbagai produk dan perkhidmatan minyak dan gas seperti produk pendingin hawa, pengudaraan dan pemanasan, perisian kejuruteraan perindustrian serta perkhidmatan cari gali dan perundingan pengeluaran minyak dan gas.

“Amat penting bagi Malaysia untuk terus meningkatkan tahap kebolehlihatannya dalam acara utama sekali gus memperkukuhkan jenama Malaysia sebagai peserta utama dalam sektor itu,” kata Pengarah Seksyen Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaga MATRADE, S. Jai Shankar.

Beliau berkata justeru, MATRADE menggalakkan syarikat Malaysia tersebut untuk menyertai aktiviti nilai tambah lain yang diadakan sepanjang acara itu seperti persidangan.

Jumlah nilai eksport barangan minyak dan gas antara Malaysia dan UAE meningkat kepada RM832.5 juta pada tahun lepas berbanding RM251.4 juta pada 2017. — Bernama

Advertisement