Anda di sini

Warga emas maut, kenderaan terbabas ke kawasan paya

Keadaan kenderaan mangsa yang terlibat kemalangan selepas terbabas ke kawasan paya di bahu jalan.

MIRI: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandunya terbabas masuk ke kawasan paya di Kilometer 85 Jalan Persisiran Pantai Miri - Bintulu berhampiran Kampung Iran Niah dekat sini kira-kira jam 5.30 pagi, tadi. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa,  yang dikenali Chan Pek Lam, 65,  disahkan maut oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

"Siasatan mendapati kenderaan yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Miri menuju ke arah Bintulu dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke kawasan paya sebelah kanan bahu jalan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.