Anda di sini

UMS komited sediakan pelantar penerokaan ilmu tepati minat golongan mahasiswa

Advertisement
RASID
RASID

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited menyediakan pelantar penerokaan ilmu yang menepati minat golongan mahasiswa, tetapi tidak mengabaikan tuntutan murni meliputi pengembangan serta penyebaran ilmu pengetahuan.

Timbalan Naib Canselor UMS (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Rasid Mail berkata, ilmu pengetahuan adalah komponen wajib untuk kemajuan peradaban negara bangsa.

"Pengurusan UMS menyedari bahawa cabaran global abad ke-21 dengan keperluan industri 4.0 tidak hanya perlu ditangani dengan perkakasan fizikal yang ampuh, tetapi juga harus dilengkapi dengan perisian bijak yang berpandangan jauh.

"Perkakasan fizikal seperti prasarana kampus yang berteknologi terkini, seperti bilik kuliah pintar, kampus pintar, sistem maklumat bersepadu dan lainnya, mesti dilengkapi dengan program perisian seperti sistem nilai teras yang merangkumi elemen dinamik, lestari, integriti, keadilan dan darjah kegembiraan," katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, proses pembelajaran perlu menyediakan wahana fizikal dan perisian mental yang mampu menanam minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan di samping menyediakan pelantar untuk perkembangan akal dan minda sesuai dengan fungsi dan misi UMS sebagai gudang membentuk generasi berilmu. 

Katanya, selari dengan elemen sistem nilai ini, UMS mula mengorak langkah untuk memperkasakan kurikulum pengajiannya agar dapat menyediakan pelajar yang seimbang selari dengan hasrat melahirkan insan yang holistik seperti mana yang termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara.

"Selaras dengan hasrat ini UMS telah memulakan langkah berani membuat reka bentuk semula struktur kurikulum untuk memberikan ruang yang luas kepada para mahasiswa mengembang dan mengoptimakan potensi diri mereka sepanjang menuntut di UMS. 

"Antara lain ia dirangka bagi menerapkan darjah kegembiraan dan keseronokan selama bergelar mahasiswa di menara gading," katanya.

Oleh itu katanya, tuntutan akademik dan minat mereka dapat bersinergi dengan keadaan persekitaran yang menemukan kecanggihan teknologi serta tuntutan industri.

Katanya, hal ini juga adalah selari dengan dasar pendidikan tinggi negara yang semakin dinamik dengan pelbagai polisi seperti flexible curriculum, gap year, pengajian tiga tahun di universiti dan satu tahun di pihak industri (3u1i), flipped classroom, global classroom dan seumpamanya. 

Sehubungan dengan itu katanya, UMS telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan Outcome Based Education (OBE) sebagai langkah penjajaran proses pembelajaran dengan hasil graduan yang diharapkan.

Menurutnya, ia membolehkan perkembangan pelajar dalam pelbagai rubrik kualiti diukur dan dipantau di sepanjang tempoh dan proses pengajian.

"Tahun-tahun yang mendatang akan menyajikan cabaran yang tidak berkesudahan kepada UMS. 

"Atas semangat untuk mempertahankan tekad cemerlang UMS dalam memastikannya terus kekal relevan kepada masyarakat, maka UMS telah memutuskan untuk menjadikan perjalanan pelajarnya sepanjang pengajian sebagai sebuah pengalaman unik yang tidak terdapat di mana-manapun institusi pengajian lain, samada di Malaysia mahupun di luar negara," katanya.

  • oleh
  • Advertisement