Anda di sini

Tiga maut, 20 cedera dalam gempa bumi di Iran

 Gambar diambil daripada video diterbitkan oleh media Iran semalam menunjukkan sebuah kereta ditimpa runtuhan selepas gempa bumi sekuat 5.9 magnitud melanda bandar Tabriz, di Wilayah Timur Azerbaijan semalam. — Gambar Iran Press/AFP
ROSAK: Gambar diambil daripada video diterbitkan oleh media Iran semalam menunjukkan sebuah kereta ditimpa runtuhan selepas gempa bumi sekuat 5.9 magnitud melanda bandar Tabriz, di Wilayah Timur Azerbaijan semalam. — Gambar Iran Press/AFP

TEHRAN: Gempa bumi di barat laut Iran semalam mengorbankan tiga orang dan mencederakan seramai 20 lagi, menurut laporan rasmi pertama dalam televisyen negara.

Gempa bumi cetek sekuat 5.9 magnitud berlaku kira-kira 120 kilometer di tenggara bandar Tabriz, di Wilayah Timur Azerbaijan, pada waktu awal pagi, kata Pusat Seismologi Iran.

Gempa bumi, dinyatakan sebagai “sederhana”, adalah lapan kilometer dalam dan diikuti oleh empat gegaran susulan.

Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengeluarkan amaran berjaga-jaga bahawa “bilangan kematian atau kecederaan mungkin lebih tinggi dan bencana itu berpotensi meluas.”

Iran terletak di mana dua plat tektonik utama bertemu dan kerap mengalami aktiviti seismik.

Negara itu telah meng-alami beberapa bencana besar dalam beberapa dekad kebelakangan ini, termasuk di bandar purba Bam, yang dimusnahkan oleh gempa bumi bersifat bencana pada 2003 yang meragut 31,000 nyawa.

Pada 1990, gempa bumi sekuat 7.4 magnitud di utara Iran mengorbankan 40,000 orang, mencederakan 300,000 dan menyebabkan setengah juta kehilangan tempat tinggal, selain turut memusnahkan beberapa pekan dan hampir 2,000 kampung.

Iran telah mengalami sekurang-kurangnya dua gempa bumi besar lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini – satu pada 2005 yang mengorbankan lebih 600 orang dan satu lagi pada 2012 yang menyebabkan kira-kira 300 kematian. — AFP