Anda di sini

Southgate masukkan Maddison

SOUTHGATE
SOUTHGATE

LONDON: Pemain tengah Leicester City James Maddison kelmarion dimasukkan ke dalam skuad Gareth Southgate untuk perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Montenegro dan Kosovo walaupun dia mencetuskan kontroversi apabila dia mengunjungi kasino sewaktu rehat antarabangsa terakhir.

England menerima kunjungan Montenegro pada 14 November dan menentang Kosovo di Pristina tiga hari kemudian.

Satu mata di Wembley dalam perlawanan menentang Montenegro dalam perlawanan antarabangsa ke-1,000 bagi pasukan lelaki sudah memadai untuk menjamin kelayakan.

Maddison menarik diri daripada skuad untuk menentang Repubik Czech dan Bulgaria pada bulan lepas kerana sakit tetapi pemain berusia 22 tahun yang belum pernah bermain mewakili negara itu digambar dalam sebuah kasino sewaktu kekalahan 2-1 di Prague.

Pengurus Leicester Brendan Rodgers mempertahankan pemainnya manakala Southgate berkata Maddison pasti sudah menyedari bahawa tumpuan semakin diberikan kepadanya.

“Itu bukanlah keputusan hebat yang dia ambil (pergi ke kasino). Sekarang dia menyedari sebagai pemain England, profail adalah berlainan,” kata Southgate.

“Semua orang memiliki telefon kamera dan berpeluang untuk mendapatkan wang. Kami menyokongnya kerana kami sudah memilihnya. Dia perlu menyertai skuad dan merebut tempatnya seperti pemain lain.”

John Stones sudah kembali, untuk menggantikan Michael Keane yang digugurkan, dan mungkin akan membuat penampilan pertamanya untuk England sejak Liga Negara-Negara pada Jun lalu.

Southgate ingin sekali melihat bagaimana pemain pertahanan Manchester City itu bermain dalam perlawanan bahagian atas liga di Liverpool esok (Ahad).

Dia berkata: “John ada beberapa perlawanan bersama pasukan. Saya dapat menjawab soalan itu (sejauh mana kekaguman Southgate) dengan lebih baik selepas Ahad. Perlawanan setakat ini telah didominasi Manchester City.

“Masih ada sedikit lagi perkara untuk dilihat dan lebih banyak lagi untuk mengujinya tetapi ia adalah bagus kerana dia sudah cergas semula dan bermain.”

Dele Alli dari Tottenham tidak akan bermain, manakala Alex Oxlade-Chamberlain dipanggil semula selepas tidak menyertai skuad pada bulan lepas kerana belum pulih daripada kecederaan lutut yang serius.

Pemain tengah Liverpool itu sudah menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan terakhirnya.

Pemain Chelsea, Callum Hudson-Odoi, yang sudah dua kali bermain mewakili negara, dinaikkan semula dari skuad bawah 21 selepas dia pulih daripada kecederaan tumit yang dia alami pada hujung musim lepas.

Rakan sepasukan di Stamford Bridge, Mason Mount, turut dimasukkan walaupun dikeluarkan dalam keputusan seri 4-4 dengan Ajax dalam Liga Juara-Juara pada Selasa lepas kerana masalah buku lali.

Tempat juga tiada untuk kapten Aston Villa Jack Grealish atau pemain tengah Manchester United Jesse Lingard. — AFP