Anda di sini

Sarawak komited laksana kewajipan Bandar Kraf Dunia

Advertisement
 Abang Johari melihat salah satu tekstil yang dipamerkan sempena Forum Kraf di Kampus Muzium Sarawak, semalam. Turut kelihatan Edric (kiri). — Gambar Chimon Upon
TERTARIK: Abang Johari melihat salah satu tekstil yang dipamerkan sempena Forum Kraf di Kampus Muzium Sarawak, semalam. Turut kelihatan Edric (kiri). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong penuh usaha untuk meletakkan kraf Sarawak pada peta kraf dan seni antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kuching diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia pada 28 November 2018.

Sarawak katanya, berbangga kerana muncul negeri pertama di Malaysia diberi pengiktirafan itu dan menyertai bandar-bandar terkemuka seperti Jaipur, Isfahan, Jogjakarta dan lebih 40 bandar antarabangsa lain.

“Kami sangat komited dalam kewajipan kami sekarang sebagai Bandar Kraf Dunia untuk menganjurkan Forum Kraf Dua Tahun Sekali di sini berhubung kait dengan Forum Tekstil dan Eko Fiber Dunia (WEFT).

“Saya mengucapkan tahniah kepada Kesatuan Atelier Sarawak atas dedikasi dan usaha mereka untuk meletakkan kraf Sarawak pada peta kraf dan seni antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Jaringan Bandar Kraf Dunia di Auditorium Kampus Muzium Sarawak di sini semalam.

Forum tersebut dianjurkan sempena Forum WEFT, Pameran dan Pertunjukan Fesyen Ke-10 yang mengetengahkan pakaian dan identiti budaya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Atelier Sarawak Edric Ong berkata, forum itu telah berkembang selama 20 tahun sejak penganjuran pertama pada 1999.

“Pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kraf Dunia adalah penghormatan kepada semua ‘unsung hero’ kraf Sarawak.

“Kami juga berterima kasih atas sokongan kerajaan negeri dalam usaha memelihara dan mengekalkan kekayaan warisan budaya  iaitu kraf Sarawak,” katanya.

Bercakap mengenai forum tersebut, ia berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 November di Kampus Muzium Sarawak di sini.

Forum disertai penggiat, pengusaha dan pakar kraf dari pelbagai negara antaranya, Indonesia, Loas, Thailand, Jepun, India, China dan Taiwan.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hazmah, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee serta yang lain.

  • oleh
  • Advertisement