Anda di sini

Real Madrid gagal beri tekanan kepada pencabar terkuat La Liga

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan pasukan Real Madrid sedang menjalani latihan di pusat latihan di Madrid, Sepanyol. — Gambar Reuters
KEKALKAN PRESTASI: Gambar fail menunjukkan pasukan Real Madrid sedang menjalani latihan di pusat latihan di Madrid, Sepanyol. — Gambar Reuters

MADRID: Toni Kroos mengakui pemain Real Madrid rasa hampa kerana tidak mengambil kesempatan ke atas prestasi Barcelona dan Atletico Madrid yang tidak konsisten untuk mencatatkan kelebihan yang besar dalam La Liga.

Barca sudah tewas dalam tiga daripada 11 perlawanan pada musim ini manakala Atletico hanya berjaya mencatatkan lima kemenangan daripada 12 perlawanan, dan Real Sociedad menduduki tempat ketiga selepas memulakan kempen dengan mantap.

Namun Madrid tidak mengambil kesempatan itu. Mereka melepaskan peluang untuk menduduki tempat teratas pada hujung minggu lepas setelah mereka seri di tempat sendiri dengan Real Betis, sejurus selepas Barcelona ditewaskan oleh Levante dan Atletico seri dengan Sevilla.

Pasukan Zinedine Zidane kembali ke landasan dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Galatasaray dalam Liga Juara-Juara pada Rabu lepas, satu kemenangan yang menaikkan semangat sebelum mereka berkunjung ke Eibar dalam La Liga pada hari ini (Sabtu).

“Beberapa perlawanan terakhir ternyata lebih baik,” kata Kroos kepada AFP.

“Semakin ramai pemain yang semakin cergas, sesuatu yang bagus kerana pada awal musim, hanya beberapa pemain mempamerkan prestasi baik, yang menyukarkan keadaan.

“Sejujurnya perasaan saya dalam liga ialah kami sepatutnya mendahului dengan kelebihan beberapa mata sekarang. Tetapi tidak dan kami perlu terus berusaha untuk tempat pertama itu.

“Kita sememangnya hampa kerana kami telah melepaskan peluang tetapi kami menggunakannya sebagai motivasi kerana kami masih berpeluang. Kami tidak dapat mengubah apa-apa, kami perlu memberi tumpuan kepada permainan kami.

“Kami akan fokus kepada orang lain apabila kami menentang mereka tetapi kami tahu apabila mereka hilang mata, ia memberi peluang kepada kami dan kami perlu mengambil peluang kami. Kami perlu mendapatkan beberapa mata di depan.”

Kemenangan Madrid ke atas Galatasaray bermakna mereka sudah layak dari Kumpulan A dan kemenangan itu turut melancarkan Rodrygo, 18 tahun, ke atas persada antarabangsa, selepas pemain Brazil itu menjaringkan hatrik.

Selepas Madrid menentang Eibar di Ipurua, Barcelona bermain di tempat sendiri menentang kelab bermasalah Celta Vigo, yang melantik Oscar Garcia pada Rabu lepas setelah Fran Escriba dipecat pada awal minggu ini.

Atletico juga sedang mencari perubahan dalam momentum apabila mereka melayan kunjungan Espanyol selepas bermain dalam tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan. — AFP

Advertisement