Anda di sini

PSG puji kecekapan Navas menjaga gawang

Advertisement
NAVAS
NAVAS

PARIS: Jika Paris Saint-Germain (PSG) dihambat sejak beberapa tahun lalu oleh ketiadaan penjaga gol yang benar-benar dalam kelas tertinggi, Keylor Navas telah menunjukkan kenapa mereka begitu ingin sekali membawanya ke ibu negara Perancis menerusi persembahannya pada pertengahan minggu ini dalam Liga Juara-Juara.

Penjaga gol Costa Rica itu menyertai PSG itu pada September lalu dari Real Madrid manakala Alphonse Areola pergi ke arah bertentangan, dan pada Rabu lepas, kejayaannya menyelamatkan tendangan penalti lewat membantu menjamin kemenangan 1-0 ke atas Club Brugge yang melayakkan pasukannya untuk mara ke peringkat 16 terakhir.

Sebagai barisan pertahanan terakhir bagi Real ketika mereka memenangi tiga Liga Juara-Juara berturut-turut di antara 2016 hingga 2018, Navas belum lagi dibolosi sebarang gol di Eropah sejak dia tiba di Paris.

Sesungguhnya, penjaga gol berusia 32 tahun itu melepaskan hanya lima gol sahaja dalam 12 perlawanan bagi pasukan Thomas Tuchel.

“Dia adalah seorang penjaga gol yang luar biasa. Dia memenangi tiga Liga Juara-Juara bersama Real Madrid dalam pertandingan di mana penjaga gol adalah posisi yang begitu penting. Mereka dapat mengubah kesudahan perlawanan,” kata pemain tengah Marco Verratti.

“Dia akan membawa begitu banyak pengalaman dan ketenangan kepada pasukan,” kata pengarah sukan Leonardo.

Akhbar sukan harian terkemuka L'Equipe kelmarin memberi muka depannya kepada penjaga gol itu dengan tajuk berita yang merujuk kepada aksi komedi arahan Jean-Paul Belmondo pada 1982 The Ace of Aces.

Namun tidak sampai seminggu lalu, ia adalah benar bahawa Navas sama sekali tidak menyelubungi diri dengan keagungan apabila PSG mengalami kekalahan 2-1 yang mengejutkan di Dijon.

Dalam Ligue 1, PSG sudah tewas dalam tiga daripada 12 perlawanan pembukaan mereka namun mereka sudah mendahului Angers dengan kelebihan tujuh mata di tempat teratas.

Mereka bertandang ke Brest pada hari ini (Sabtu) di mana Tuchel akan sekali lagi perlu memutuskan sama ada untuk meletakkan Edinson Cavani, di bangku pemain simpanan ataupun tidak. — AFP

Advertisement