Anda di sini

Program BTS Petronas santuni 3,638 pelajar

Advertisement
 Zulaihi (kanan) serta kakitangan Petronas merakam gambar bersama murid yang menerima sumbangan daripada Yayasan Petronas, kelmarin.
UNTUK KENANGAN: Zulaihi (kanan) serta kakitangan Petronas merakam gambar bersama murid yang menerima sumbangan daripada Yayasan Petronas, kelmarin.

BINTULU: Yayasan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) giat membantu golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan memberi sumbangan beg serta kelengkapan sekolah bagi persediaan pelajar terbabit memasuki sesi persekolahan tahun 2020.

Justeru seramai 3,638 pelajar dari 13 sekolah rendah di Bintulu telah menerima sumbangan kelengkapan barangan kembali ke sekolah dalam persediaan menghadapi sesi akademik 2020 di bawah program Yayasan Petronas ‘Back To School 2019’ (BTS 2019).

Pelajar yang menerima sumbangan itu adalah yang dikenal pasti daripada keluarga berpendapatan rendah dengan isi rumah berpendapatan bawah 40 peratus (B40) menerima beg sekolah, botol air, baju hujan, alat tulis dengan dua pasang pakaian seragam sekolah, sepasang stokin dan kasut.

Penyampaian sumbangan itu diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Poncho Kampung Baru dengan disempurnakan Pengurus Besar Petronas Sarawak Zulaihi Mohd Mantali dan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Fred Entau, pengurusan kanan Petronas serta guru-guru.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Lita Osman berkata, program itu adalah jelajah terbesar seluruh negara sejak diperkenalkan 17 tahun lepas dan mereka berbesar hati untuk membantu 21,000 pelajar membuat persediaan memasuki sesi persekolahan tahun depan.

“Kami berharap dengan membuang salah satu halangan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah ia akan memotivasikan mereka untuk terus berusaha agar kekal bersekolah serta menamatkan persekolahan mereka,” ujarnya kelmarin.

Beliau berkata, setiap kanak-kanak perlu diberi peluang untuk meneruskan usaha mendapat pendidikan yang berkualiti agar mereka dapat menikmati masa depan yang cerah dan keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Kanak-kanak ini pada suatu hari nanti akan dapat memperbaiki kehidupan mereka dan komuniti mereka,” tambah Lita.

Menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini, kadar keciciran pelajar di Malaysia menurun sedikit daripada 0.34 peratus kepada 0.29 peratus antara 2014 dan 2017.

Kementerian menyasarkan untuk mengurangkan kadar itu kepada 0.27 peratus pada 2019.

BTS 2019 dilaksana pertengahan Oktober hingga November 2019 disokong lebih 800 sukarelawan Petronas yang akan memilih pakaian seragam dan kasut sekolah para pelajar, membungkus dan menghantar barang-barang tersebut kepada pihak sekolah.

Program itu telah memberi manfaat kepada 21,000 murid sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.

Yayasan Petronas merupakan satu bahagian tanggungjawab sosial korporat Petronas dengan misi membantu menyumbang kepada komuniti serta memberi impak yang mampan, meningkatkan kualiti hidup dan hasil sosioekonomi untuk komuniti di seluruh negara melalui bidang tumpuannya dalam pendidikan, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan termasuk alam sekitar.

Advertisement