Anda di sini

Perbezaan harga tinggi sebab tiga barangan bersubsidi kerap diseludup ke negara jiran

Advertisement
Iskandar menunjukkan statistik kes penyeludupan barang bersubsidi

KUCHING: Gas petroleum cecair (LPG), minyak masak dan tepung gandum, tiga barangan bersubsidi 'panas' di Sarawak yang kerap diseludup ke negara jiran, Indonesia. 

Perkara itu didedahkan Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Negeri (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman yang memberitahu, ketiga-tiga barangan bersubsidi itu kerap diseludup ke negara jiran berikutan perbezaan harga yang tinggi. 

Tambahnya, kesemua barangan bersubsidi yang diseludup menggunakan laluan tikus di sempadan negeri ini yang mana Serikin dan Tebedu merupakan kawasan tertinggi kes direkodkan. 

"Setakat ini untuk 2019, sebanyak 106 kertas siasat dibuka berhubung kes penyeludupan barangan bersubsidi yang melibatkan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM2.3 juta hasil penguatkuasaan bersama agensi penguatkuasa lain. 

"Kebanyakan barangan bersubsidi yang kerap diseludup adalah LPG, minyak masak bersubsidi paket satu kilogram dan tepung gandum pelbagai guna yang diseludup menerusi jalan-jalan tikus di sempadan negeri ini," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Penguatkuasaan Barang-barang Bersubsidi di Sarawak, Bilik Mesyuarat KPDNHEP di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut perbezaan harga barangan bersubsidi itu, Iskandar menjelaskan, di Indonesia, harga untuk satu tong LPG mencecah RM60 hingga RM70 berbanding di sini iaitu bawah RM30 satu tong. 

"Perbezaan harga yang tinggi ini menyebabkan barangan bersubsidi ini diseludup ke negara jiran," katanya. 

Menurutnya lagi, selain jalan tikus di Serikin dan Tebedu, dua lagi lokasi yang lain yang turut mencatatkan kes yang tinggi adalah Limbang dan Bintulu. 

Kata beliau, KPDNHEP tidak menolak kemungkinan kes penyeludupan barang bersubsidi ini dilakukan oleh sindiket tetapi kebanyakannya dilakukan individu kerana ia sumber pendapatan mereka. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini tiga individu telah dijatuhkan hukuman penjara, dua daripadanya dipenjara enam bulan manakala seorang lagi 18 bulan penjara kerana menyeludup barangan bersubsidi di Sarawak. 

"Justeru, KPDNHEP akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) kita agar semua pelaku penyeludupan barang bersubsidi ini didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman penjara. 

"Ini kerana kita lihat hukuman kompaun dan denda tidak menakutkan pelaku daripada melakukan kesalahan penyeludupan barang bersubsidi ini," tegasnya lagi. 

Selain itu, Iskandar berkata, KPDNHEP komited untuk membantu Kerajaan Sarawak bagi membendung kegiatan penyeludupan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi keluar dari negara ini. 

Katanya, kerjasama yang dimetarai bersama agensi-agensi penguatkuasaan sempadan negeri Sarawak memberi fokus kepada kegiatan yang sering berlaku membabitkan kawasan persempadanan di antara kedua-dua negara itu. 

"Kita akan melakukan lebih banyak operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain di negeri ini bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang bersubsidi di negeri ini ke negara jiran," ujarnya.  
 

  • oleh
  • Advertisement