Anda di sini

Penganggur kena empat bulan gara-gara curi barangan dapur

Advertisement

KUCHING: Perbuatan mencuri barangan dapur seperti mentega, minuman coklat, syampu dan minyak wangi menyebabkan seorang penganggur lelaki dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Nor Hafiq Mohamad Khir, 29, mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit sejurus pertuduhan dibaca terhadapnya.

Majistret Zubaidah Sharkawi juga menetapkan agar tertuduh dipenjara bermula semalam.

Pada 5 November lalu, pengawal keselamatan yang bekerja di pasar raya di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce mendapati terdapat seorang lelaki membawa keluar barangan dapur daripada pasar raya berkenaan tanpa membuat bayaran.

Kejadian pada jam 11 pagi itu menyaksikan tertuduh mencuri dua bungkus mentega, 11 unit minuman coklat, enam unit minyak wangi dan lapan botol syampu.

Anggaran kerugian adalah lebih kurang RM553.68.

Untuk perbuatan terbabit, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh dalam rayuan pengurangan hukuman berkata, dia merupakan sumber utama bagi keluarganya.

“Saya mempunyai dua orang anak yang sedang bersekolah dan ini merupakan kesalahan pertama saya,” ujar beliau kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nelson Ensit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement