Anda di sini

Pendidikan awal tingkat kreativiti kanak-kanak

Advertisement
 Japlin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah berupa trofi kepada pememang.
HADIAH: Japlin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah berupa trofi kepada pememang.

KOTA BELUD: Pendidikan awal kanak-kanak perlu turut sama disertakan dengan elemen kesenian dan kreativiti bagi melahirkan generasi baharu yang bukan hanya celik intelektual malahan kreatif dan mampu berfikiran kritis dalam melaksanakan tugasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Japlin Akim berkata, usaha memupuk dan mencungkil bakat anak-anak sejak peringkat pendidikan awal memerlukan sokongan ibu bapa dan idea kreatif para guru bagi menarik minat kanak-kanak selain daripada memberikan mereka keyakinan diri.

“Kanak-kanak masa kini adalah kanak-kanak yang bersaing dengan lebih banyak kepakaran dan pada masa akan datang, jika anak-anak kita pada hari ini tidak mempunyai input tambahan atau kemahiran yang menjadikan diri mereka bermanfaat dan mampu memberi sumbangan, mereka akan ketinggalan.

“Saya merasakan penglibatan anak-anak dalam bidang seni dan bakat turut menjadi antara input berguna yang mampu mereka manfaatkan ketika dewasa kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dan menyempurnakan Aktiviti Kecemerlangan Prasekolah Bahagian Utara 2019 di Dewan Terbuka SK Tamau Kota Belud, kelmarin.

Menurut Japlin, anak-anak kita masing-masing mempunyai bakat tersendiri dan ibu bapa serta guru perlu mahir dan kreatif dalam memupuk dan mengasah bakat anak-anak sejak awal.

“Bakat anak-anak kita sebenarnya telah ada dalam diri, cuma kita sebagai orang tua perlu lebih bijak dalam memberi galakan agar anak-anak kita berani menonjolkan diri dan mempamerkan bakat seni mereka.

Japlin turut menyeru ibu bapa untuk terus bekerjasama dengan pihak guru dan pusat pendidikan awal bagi menyumbang idea dan tenaga dalam aktiviti bersama anak-anak.

Katanya, penglibatan ibu bapa dan guru-guru dalam aktiviti anak-anak di peringkat pendidikan awal mampu memberi anak-anak keyakinan dan keberanian untuk lebih cemerlang dan aktif.

Japlin turut menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada murid-murid prasekolah dalam acara pertandingan bercerita di menangi SK Gunsurai Kota Belud dan pertandingan menari retro oleh SK Pandasan Kota Belud.

Hadir sama ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Mohd Fadzli Abd Rozan.

Advertisement