Anda di sini

Miliki motosikal curi, penganggur dihukum penjara sembilan bulan

Advertisement

KUCHING: Seorang penganggur dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana melakukan kesalahan memiliki harta curi iaitu sebuah motosikal.

Lee Kai Shyan, 42, mengaku bersalah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK) sejurus pertuduhan dibaca dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Zubaidah Sharkawi kemudian menetapkan agar tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia direman iaitu pada 24 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan curang memiliki harta curi berupa sebuah motosikal milik seorang pemuda berusia 19 tahun pada 19 Julai lalu.

Kesalahan itu dilakukannya di Taman Emas Batu 9 Jalan Penrissen pada jam 5 petang.

Menurut fakta kes, pemilik motosikal tersebut dan rakannya dengan secara tidak sengaja melihat tertuduh menunggang motosikal miliknya yang dilaporkan hilang.

Mereka seterusnya mengekori tertuduh sehingga dia sampai ke hadapan rumah.

Mereka kemudian bertindak menangkap dan menahan tertuduh sebelum menghubungi polis.

Dalam rayuan pengurangan hukumannya, tertuduh merayu agar diberikan hukuman ringan kerana dia mempunyai tiga orang anak untuk ditanggung.

Seksyen 411 KK memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nelson Ensit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement