Anda di sini

Liga Europa: Man Utd catat kemenangan di Old Trafford

 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Europa Kumpulan L di antara Manchester United dan Partizan Belgrade di Old Trafford. — Gambar Reuters
PENUH AKSI: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Europa Kumpulan L di antara Manchester United dan Partizan Belgrade di Old Trafford. — Gambar Reuters

PARIS: Pemain remaja Mason Greenwood menjaringkan gol apabila Manchester United (MU) mara ke peringkat 32 terakhir Liga Europa dengan kemenangan 3-0 ke atas Partizan Belgrade di Old Trafford kelmarin, manakala Celtic mengejutkan Lazio dengan gol minit akhir di Rom untuk mara.

MU bimbingan Ole Gunnar Solskjaer tahu kemenangan ketiga dalam empat perlawanan Kumpulan L mencukupi untuk membantu mereka mara.

Greenwood, 18 tahun, memecah kebuntuan pada minit ke-22 dengan penyudah yang tenang untuk menjaringkan gol ketiganya pada musim ini dan gol keduanya dalam pertandingan ini.

Anthony Martial menggandakan kelebihan itu selepas 30 minit dengan satu jaringan individu yang cantik sebelum Marcus Rashford merembat masuk gol ketiga empat minit selepas waktu rehat.

Kemenangan selesa itu menyaksikan MU bangkit selepas kekalahan 1-0 di Bournemouth pada hujung minggu lepas menamatkan siri kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

“Saya rasa ia adalah persembahan yang baik tetapi ada perkara yang kita dapat perbaiki,” kata Rashford kepada BT Sport.

“Kami berjaya menjaringkan tiga gol tetapi kami sebenarnya dapat menjaringkan lebih banyak lagi.”

AZ Alkmaar membelasah Astana 5-0 di Kazakhstan untuk mengusai persaingan bagi tempat kedua dalam Kumpulan L di belakang MU, seterusnya menyingkirkn hos mereka dan melebihi jurang kepada empat mata ke atas Partizan.

Olivier Ntcham menjaringkan gol kemenangan yang dramatik dalam masa kecederaan untuk merampas kemenangan 2-1 bagi Celtic di Lazio.

Pasukan Neil Lennon kekal di tempat teratas Kumpulan E dengan baki dua perlawanan lagi, tujuh mata di depan Lazio di tempat ketiga selepas kemenangan kedua berturut-turut bagi mereka ke atas kelab dari Rom itu.

“Ia adalah hebat untuk layak dengan baki dua perlawanan lagi,” kata Lennon, pengurus Celtic, kepada uefa.com.

“Ia masih terlalu awal untuk menyatakan sejauh mana kita dapat pergi dalam pertandingan ini tetapi kami boleh jadi pasukan lawan yang sukar untuk sesiapa pun.”

Ciro Immobile meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ketujuh tetapi James Forrest menyamakan kedudukan untuk Celtic sebelum waktu rehat.

Namun pemain gantian Ntcham menyambar bola hantaran Odsonne Edouard pada minit kelima dalam masa tambahan dan melakukan penyudah dengan tenang ke atas penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha.

Satu lagi perlawanan dalam kumpulan itu menyaksikan CFR Cluj memerlukan satu mata lagi untuk layak selepas mereka menewaskan Rennes 1-0 di Romania.

Musuh tetangga Celtic di Old Firm, Rangers, mencerahkan peluang mereka untuk mara ke peringkat kalah mati buat pertama kali sejak 2011 dengan kemenangan 2-0 ke atas Porto di Ibrox.

Jaringan pada babak kedua daripada Alfredo Morelos dan Steven Davis meletakkan pasukan Steven Gerrard di tempat kedua dalam Kumpulan G, tiga mata di depan Feyenoord selepas kelab Belanda itu seri 1-1 dengan Young Boys.

“Dia bermain dengan cemerlang untuk kami sepanjang musim dan dia sudah muncul lagi pada malam ini dan menjaringkan gol yang sangat penting bagi kami untuk membantu kami mara,” kata Davis mengenai Morelos, selepas pemain Colombia itu menjaringkan gol ke-11 dalam Liga Europa pada musim ini.

Pendahulu Bundesliga Borussia Moenchengladbach mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam kempen Liga Europa selepas jaringan Marcus Thuram pada minit ke-95 menjamin kemenangan 2-1 ke atas Roma.

Kelab Jerman itu naik ke tempat kedua dalam Kumpulan J, di depan Roma dan dua mata di belakang pendahulu Istanbul Basaksehir, yang menewaskan Wolfsberger 3-0 di Austria.

Wolves mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam Liga Europa walaupun Ruben Neves gagal menjaringkan tendangan penalti selepas gol Raul Jimenez pada minit ke-92 mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Slovan Bratislava di Molineux.

Para pemain Nuno Espirito Santo mendahului lima mata di depan Slovan di tempat kedua dalam Kumpulan K, dengan Braga satu mata di depan kelab Liga Perdana Inggeris itu di tempat teratas selepas menundukkan Besiktas 3-1.

“Semua kami rasa mungkin ia adalah salah satu malam itu,” kata kapten Wolves, Conor Coady. “Kemenangan ini adalah penting. Kami menjalankan tugas kami dengan baik.”

Bekas pemain sayap Barcelona Munir El Haddadi menjaringkan hatrik apabila Sevilla membelasah Dudelange 5-2 untuk turut mara ke pusingan kalah mati.

Sevilla, yang memegang rekod sebagai juara lima kali, tahu kemenangan di Luxembourg akan membolehkan mereka untuk mara dari Kumpulan A dan kemenangan mereka yang berat sebelah itu juga menjamin tempat teratas.

PSV Eindhoven, juara pada 1978, mengalami kekalahan 4-1 yang menginsafkan kepda kelab dari Austria, LASK Linz, untuk turun ke tempat ketiga dalam Kumpulan D di belakang pasukan lawan mereka dan Sporting Lisbon, yang menang 2-0 di Rosenborg.

Dalam perlawanan lain, Espanyol naik ke ambang kelayakan dengan membelasah sembilan pemain Ludogorets 6-0, manakala Gent naik ke tempat teratas Kumpulan I dengan kemenangan 3-1 di Wolfsburg. — AFP