Anda di sini

Lelaki tempatan ditahan disyaki cuba seludup barang kawalan ke negara jiran

 Suspek dan semua barang tangkapan ditahan untuk siasatan lanjut.
SUSPEK : Suspek dan semua barang tangkapan ditahan untuk siasatan lanjut.

TAWAU : Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki tempatan, 34 tahun disyaki cuba menyeludup barang kawalan ke negara jiran, di sini semalam

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah,  ACP Mohamad Pajeri Ali berkata tiga anggota PPM menjalankan operasi 'Op Gelora Khas'  bertindak membuat serbuan ke atas suspek sebaik menerima maklumat menerusi Unit Risikan Marin (URM).

"Suspek berjaya ditahan bersama lori yang membawa barang kawalan tersebut kira-kira jam 6 pagi di tempat letak kereta berhadapan Pasar Ikan Tawau," katanya menerusi kenyataan medianya semalam.

Pajeri berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa 40 tong gas petroleum cecair (LPG) yang disembunyikan diruang belakang lori terbabit.

"Suspek juga gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua tong LPG yang dibawahnya," katanya.

Mengulas lanjut, pengakuan lisan suspek tong LPG tersebut untuk diedarkan ke Pulau Sebatik melalui jalan laut dan dipercayai akan diseludup ke negara jiran Indonesia.

"Suspek yang sudah menjalankan aktiviti ini selama dua bulan mengakui tong LPG tersebut dihantar melalui sungai melayu sebelum diseludup ke negara jiran untuk mengaburi pihak penguatkuasa," katanya lagi.

Menurutnya, suspek dan barang kawalan diarah ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan dan tindakan selanjutnya manakala nilai keseluruhan termasuk tong LPG dan Kenderaan dianggarkan RM37,250.

"Kesalahan tersebut dirujuk kepada KPDNHEP Tawau dan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama.

"Jika Sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.