Anda di sini

Kasti Tihi, Dayangku Nur Aishah ungguli tilawah al-Quran Bintulu

Advertisement
 Para pemenang Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu merakam gambar bersama Hussaini (empat kanan), Muhammad Dino (empat kiri), Ustaz Azhar (tiga kanan) serta tetamu jemputan lain.
TAHNIAH: Para pemenang Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu merakam gambar bersama Hussaini (empat kanan), Muhammad Dino (empat kiri), Ustaz Azhar (tiga kanan) serta tetamu jemputan lain.

BINTULU: Kasti Tihi dan Dayangku Nur Aishah Lee Awang Jedel masing-masing dinobat sebagai johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu yang berlangsung dari 5 November dan berakhir malam kelmarin di Dewan Serba Guna Kampung Sungai Plan Lot, di sini.

Manakala naib johan qari dan qariah pula disandang Abang Jasmani Abang Mazadi dan Sainah Husnan.

Kedudukan tempat ketiga qari dan qariah pula diraih Bahran Tihi dan Buridah Rapie.

Hadiah-hadiah kepada pemenang majlis tilawah anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bintulu (JTAIB) itu disampaikan Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim yang mewakili Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip.

Hadir sama Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu Ustaz Azhar Hipni, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Temenggung Rosli Kamaruddin, Pemanca Awang Merais Pengiran Ismail, Ketua Kaum Kampung Sungai Plan Lot Bujang Wabah, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.

Hussaini berkata, majlis tilawah al-Quran merupakan medan untuk memartabatkan kitab suci al-Quran dan seni alunan tarannum.

Katanya, penganjurannya merupakan wadah terbaik untuk membangunkan generasi al-Quran serta melahirkan qari dan qariah bermutu tinggi dan seterusnya dapat mengembangkan ilmu tersebut kepada orang lain.

“Saya percaya penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk memilih qari dan qariah ke peringkat tinggi tetapi yang paling penting ialah mesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya,” katanya.

Beliau berkata, penghayatan kepada isi kandungan al-Quran melalui tilawah, mesej-mesej yang disampaikan melalui persembahan nasyid, nilai-nilai murni dan cara hidup Islam akan memberi insipirasi kepada umat Islam untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Allah serta menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan.

Katanya, al-Quran banyak mengajak dan menyeru manusia menimba ilmu dan memartabatkan ketinggian ilmu dalam kehidupan.

Advertisement