Anda di sini

Jangan ambil, beli anjing yang tidak diketahui status vaksinasi

Advertisement
 Mesyuarat tentang Ops Rabies Miri dan Subis petang kelmarin.
BANTERAS RABIES: Mesyuarat tentang Ops Rabies Miri dan Subis petang kelmarin.

MIRI: Orang awam dinasihat tidak mengambil atau membeli anjing yang tidak diketahui sumber dan status vaksinasi.

Ketua Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Sylmie Al-Harir berkata, pemilik diminta menghubungi Pejabat Veterinar sekiranya haiwan peliharaan mereka itu menjadi agresif.

Antara tanda-tanda lain dijangkiti rabies ialah menggigit barang, air liur meleleh dan hilang koordinasi badan.

“Jangan membuang anjing peliharaan jika tidak lagi diperlukan. Sila hubungi Pejabat Veterinar Bahagian yang terdekat atau Majlis Daerah untuk menyerahkan anjing tersebut,” ujarnya.

Sylmie berkata demikian pada mesyuarat Ops Rabies Miri dan Subis dipengerusikan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Miri Edward Tawang di Pejabat Daerah Miri petang kelmarin.

Operasi fasa kelapan itu akan diadakan dari 10 hingga 20 November ini.

Untuk mengelak haiwan peliharaan mereka dijangkiti wabak maut itu, pemilik sekali lagi diingatkan untuk menghantar haiwan mereka mendapat suntikan imuninasi.

Sylmie berkata, suntikan tahunan diperlukan untuk memastikan anjing peliharaan kekal terlindung daripada rabies.

“Orang awam dinasihatkan untuk mengurung anjing di kawasan kompaun rumah. Anjing yang berada di luar kawasan rumah akan ditangkap oleh Majlis Daerah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak,” jelasnya lanjut.

Pemilik juga harus memastikan anjing dipakai tali kekang ketika membawa haiwan itu di luar dan tempat awam, tambahnya.

Selain itu katanya, mereka diminta melesenkan anjing bagi mengelak haiwan itu ditangkap berkeliaran.

“Kami memerlukan kerjasama penuh daripada orang awam dalam usaha menghapuskan rabies. Tiada gigitan, tiada rabies,” tegas beliau.

Suntikan imunisasi antirabies boleh diperolehi di Pejabat Veterinar Bahagian dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 pada waktu bekerja.

Anjing juga boleh mendapat suntikan imunisasi di klinik veterinar swasta.

  • oleh
  • Advertisement