Anda di sini

Generasi muda mampu jadi ejen pupuk kesedaran jaga alam sekitar

 Victoria (enam kiri) menyampaikan hadiah kepada salah satu kumpulan yang memenangi pertandingan pada program tersebut.
TAHNIAH: Victoria (enam kiri) menyampaikan hadiah kepada salah satu kumpulan yang memenangi pertandingan pada program tersebut.

BINTULU: Generasi muda mampu menjadi ejen perubahan ke arah memupuk kesedaran awam dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta berperanan membantu memelihara kekayaan biodiversiti di negeri dan negara ini.

Pengurus Malaysia LNG Group of Companies (MLNG) Victoria Charles Juta berkata, pihaknya percaya generasi muda mampu menjadi ejen perubahan dalam memupuk kesedaran awam pemuliharaan alam sekitar dan program ‘Friends of Nature’ adalah landasan ideal mendidik mereka pemuliharaan biodiversiti.

Program tiga hari di Taman Negara Similajau itu disertai seramai 40 pelajar dan 15 guru dari tujuh sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asyakirin, SMK Bandar, SMK Baru, SMK Kemena, SMK Kidurong, SMK Sebauh dan SMK Tatau serta Kolej Vokasional Bintulu.

Antara aktiviti disertai pelajar dan guru ialah memerhati spesies burung, berjalan kaki di kawasan semula jadi dan pembersihan pantai.

Program itu adalah kunci komponen Projek Pemuliharaan, Alam Sekitar dan Biodiversiti (BEACON) yang dianjur bersama MLNG iaitu anak syarikat Petronas dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam usaha memupuk kesedaran pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton berkata sejak program ‘Friends of Nature’ dilaksanakan terdapat peningkatan tahap kesedaran pemuliharaan di Bintulu dan ini amat bermakna sekali gus memberi impak besar kepada generasi seterusnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengurus Besar SFC Oswald Braken Tisen.

Projek BEACON adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MLNG dengan kerjasama SFC merangkumi dua komponen iaitu program penempatan 1,500 bebola tukun tiruan di perairan laut Taman Negara Similajau untuk memulihkan kawasan perlindungan hidupan marin.

Komponen kedua ialah program Pemuliharaan, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) untuk mendidik generasi muda tentang kekayaan biodiversiti di Sarawak serta memupuk kesedaran awam pemuliharaan alam sekitar.