Anda di sini

Everton nanti kepulangan Andre Gomes untuk aksi EPL

Advertisement
GOMES
GOMES

LONDON: Pemain tengah Everton Andre Gomes mungkin akan dapat bermain semula sebelum hujung musim selepas pembedahan ke atas buku lali yang patah berjalan dengan baik, kata pengurus kelabnya Marco Silva kelmarin.

Pemain antarabangsa Portugal berusia 26 tahun itu mengalami keretakan buku lali kanan yang terkehel selepas dibentes oleh pemain Tottenham Hotspur Son Heung-min dalam keputusan seri 1-1 pada Ahad lepas.

Silva berkata berita dari kakitangan perubatan kelab menggalakkan ekoran pembedahan pada Isnin lepas dan membayangkan kepulangan mungkin boleh berlaku sebelum kempen berakhir pada pertengahan Mei tahun depan.

“Ia tidak mudah bagi kami untuk memberi tarikh sebenar bagi bila dia akan kembali,” kata Silva di sidang akhbarnya sebelum perlawanan menentang sebuah lagi kelab bermasalah Southampton pada hujung minggu ini.

“Apa yang ada dalam fikiran kami dan maklum balas yang saya ada dari kakitangan perubatan kami ialah kita mungkin akan melihat Andre bermain semula pada musim ini.

“Sudah tentulah ia bukan sesuatu yang kami pasti 100 peratus tetapi kami ada kemungkinan yang baik untuk berbuat demikian.

“Dia kuat, dia pasti akan terus kuat dan akan menjadi lebih kuat lagi sebagai seorang pemain.”

Silva, pengurus pasukan yang memerlukan mata dan duduk hanya satu tempat sahaja di atas zon relegasi, berkata dia memahami keresahan Son dan pemain pertahanan Ivory Coast Serge Aurier.

Gomes terjatuh dengan teruk ekoran asakan daripada Son dan momentumnya menyebabkannya merempuh Aurier.

Son, yang dilayangkan kad merah sebelum ia ditarik balik selepas rayuan dikemukakan, kelihatan begitu gelisah sekali manakala Aurier terpaksa digantikan tidak lama kemudian kerana terlalu resah.

“Ya, saya rasa dia (Gomes) menerima pesanan teks atau sesuatu seperti itu daripada Son,” kata Silva.

“Sudah tentulah ia adalah waktu yang lebih sukar bagi Andre, itu adalah pasti, berbanding semua pemain lain di atas padang.

“Waktu paling sukar bagi Andre, tetapi sudah tentulah bagi kedua-dua pemain yang terlibat, pertama Son dan selepas itu, Aurier, yang juga amat sukar.” — AFP

Advertisement