Anda di sini

Enam spesies ikan baharu dilindungi

Advertisement
 Lawrence (dua kanan) memberi penerangan kepada penjual ikan berhubung spesies baharu ikan yang dilindungi sambil diperhatikan oleh Norainon (tiga kanan).
DILINDUNGI: Lawrence (dua kanan) memberi penerangan kepada penjual ikan berhubung spesies baharu ikan yang dilindungi sambil diperhatikan oleh Norainon (tiga kanan).

SANDAKAN: Jabatan Perikanan Sabah tahun ini menyenaraikan enam spesies ikan baharu yang disenaraikan di dalam Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999, Akta Perikanan 1985.

Enam spesies itu adalah empat spesies ikan yu iaitu Carcharhinus longimanus (yu sirip putih besar), Sphyrna zygaena (yu tukul), Sphyrna mokarran (yu tukul parang), Eusphyra blochii (yu tukul palang) dan dua lagi spesies pari, Mobula birostris (pari tanduk) dan Mobula alfredi (pari tanduk).

Penambahan itu menjadikan 36 spesies hidupan marin terancam dikawal mengikut akta Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 Akta Perikanan 1985 supaya tidak mengalami kepupusan.

Akta Perikanan 1985 menjelaskan yang adalah menjadi kesalahan bagi aktiviti seperti memancing, mengganggu, mengusik, menangkap, membunuh, mengambil, memiliki, menjual, membeli, mengeksport atau mengangkut.

Di bawah Sekyen 25(b) Akta di atas, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Penolong Pengarah Pengurusan Sumber Marin, Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol berkata tujuan Program Sosialisasi oleh Jabatan Perikanan Sabah di kesemua 17 buah daerah marin di Sabah dalam tahun 2019 ini yang dilancarkan di Tawau pada 6 Nov lepas adalah untuk memberikan penerangan kepada masyarakat am (nelayan, penjual pasar dan masyarakat am) agar dapat memberi kerjasama kepada pihak kerajaan untuk sama-sama menjaga populasi spesies terancam.

“Poster khas telah diterbitkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan turut dibekalkan di Sabah. Ianya akan di pasang di 17 buah pasar utama di 17 daerah yang mana program ini diadakan,” katanya kepada pemberita selepas program sosialisasi di Pasar Umum Sandakan, pagi semalam.

Ditanya mengenai terdapat spesies ikan dilindungi dijual di pasar di negeri ini, Lawrence berkata beberapa spesies ikan dilindungi termasuk yu paus turut dijual di pasar dan apabila pemeriksaan dilaksanakan, penjual mendakwa ikan tersangkut pada pukat atau tidak tahu spesies terbabit dilindungi biarpun Jabatan Perikanan sentiasa memaklumkan kepada masyarakat setiap kali ada spesies baharu disenaraikan dalam akta.

“Pihaknya akan ke setiap daerah di seluruh negeri untuk memberi penerangan kepada masyarakat selain menasihatkan nelayan membuang semula spesies ikan dilindungi ke laut jika tertangkap atau ikan yang masih kecil untuk memastikan hasil ikan berterusan.

“Di Sabah, ada 26 daerah dan sekurang-kurangnya 50 pasar dan tamu menjual ikan sama ada hasil daripada laut atau air tawar.

“Kita ada beberapa kes sebelum ini iaitu rampasan ikan daripada spesies dilindungi dan ambil tindakan tamatkan permit menjual ikan jika didapati mereka menjual spesies dilindungi,” katanya.

Beliau turut menasihati nelayan dan para pemancing yang menangkap dalam pukat atau terpancing tidak tersengaja spesis ikan yang dilindungi ini, sekiranya masih hidup agar melepaskan semula ikan tersebut ke laut.

“Kita juga minta nelayan dan pemancing yang terpancing atau tertangkap apa juga jenis ikan yang bersaiz kecil supaya melepaskan semula ikan itu ke laut supaya ikan-ikan ini dapat membesar,” tegasnya. 

Beliau berkata pihaknya tidak mengalakan ikan bersaiz kecil ditangkap dalam usaha kita mengurangkan pelbagai jenis ikan pupus dan dapat terus membiak serta dapat membesar bagi membolehkan kita terus menikmati ikan berterusan. 

“Kita mahu nelayan atau pemancing ini hanya menangkap ikan dan memancing ikan bersaiz besar,” katanya.  

Turut hadir dalam program itu, Penguasa Perikanan Daerah Sandakan, Norainon Madra dan Ernest Jinuat dari Pejabat Pengurusan Sumber Marin,  Jabatan Perikanan Sabah.

  • oleh
  • Advertisement