Anda di sini

Dua warga asing ditembak menyebabkan seorang maut

Advertisement
Hadapan rumah tidak bernombor tempat mangsa dan rakannya berbual sebelum ditembak
Hadapan rumah tidak bernombor tempat mangsa dan rakannya berbual sebelum ditembak

BINTULU: Seorang lelaki warga asing terbunuh, manakala seorang lagi parah akibat ditembak oleh individu tidak dikenali dalam satu insiden 'amuk' di sebuah ladang sawit di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri sekitar jam 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata beberapa anggotanya digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja laporan berhubung kejadian diterima.

"Setiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati seorang lelaki warga asing berusia sekitar 30an telah meninggal dunia dipercayai akibat terkena tembakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya juga, pemeriksaan ke atas mayat mangsa juga mendapati terdapat kesan luka di leher mangsa dipercayai akibat ditetak.

Bercakap mengenai kejadian tersebut, Zulkipli memberitahu kedua-dua mangsa semasa kejadian sedang duduk berbual di hadapan rumah apabila dikejutkan dengan  tembakan.

Polis melakukan pemeriksaan di tempat lokasi kejadian kes tembak terbabit
Polis melakukan pemeriksaan di tempat lokasi kejadian kes tembak terbabit

Tambahnya, kedua-dua mangsa segera berlari menyelamatkan diri ke bahagian belakang rumah.

"Bagaimanapun, mangsa rebah di bahagian tepi rumah tersebut dan rakannya yang berusia 27 tahun terus melarikan diri dan bersembunyi di dalam belukar," katanya.

Rakan mangsa yang turut cedera di bahu kanan kerana terkena tembakan hanya keluar dari tempatnya bersembunyi selepas memastikan keadaan benar-benar selamat.

Orang awam kemudian terus melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis selepas mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan terperinci akan dijalankan untuk mengenalpasti suspek yang terlibat, serta motif kejadian," tegasnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement