Anda di sini

Dayang Holding derma RM20,000 kepada dua pertubuhan kebajikan

 (Dari empat kiri) Richard, James dan Wong menunjukkan replika cek sambil bergambar bersama kanak-kanak Pusat Methodist dan jawatankuasa Pusat Paliatif.
AKTIVITI AMAL: (Dari empat kiri) Richard, James dan Wong menunjukkan replika cek sambil bergambar bersama kanak-kanak Pusat Methodist dan jawatankuasa Pusat Paliatif.

MIRI: Dayang Holding menyumbang RM20,000 kepada dua pertubuhan kebajikan di sini daripada projek amal tahunan mereka Dayang QHSSE (Kualiti, Kesihatan, Keselamatan, Pengawasan dan Alam Sekitar).

Penerima ialah Pusat Jagaan Paliatif Miri dan Pusat Pembelajaran Kanak-Kanak Gereja Methodist Tudan Miri masing-masing mendapat RM10,000 disampaikan Timbalan Pengerusi Dayang Holding Datuk James Ling kelmarin.

Paliatif diwakili Bendahari Richard Wong sementara Pusat Methodist diwakili Pengerusinya Wong Kung Kui.

Ling dalam ucapannya memberitahu, syarikat telah menganjurkan aktiviti amal itu sejak 11 tahun lalu di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Beliau memberitahu, derma dikumpul daripada aktiviti larian amal dan golf amal yang melibatkan kakitangan dan orang awam.

Selain itu, kempen derma darah berjaya mengumpul sebanyak 71 pain darah untuk membantu menambah bekalan darah Tabung Darah Hospital Miri.

Kempen dikendalikan dalam tempoh tiga bulan yang turut melibatkan aktiviti pembersihan pantai dan pertandingan futsal.

“Setiap tahun kita menyumbang kepada pertubuhan berlainan dan setiap tahun juga kita menganjurkan aktiviti amal.

“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kita kepada masyarakat,” jelasnya.

Kempen dianjurkan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan aspek keselamatan di tempat kerja.