Anda di sini

Bantuan lunas PTPTN langkah tepat GPS

KANYAN
KANYAN

SIBU: Inisiatif kerajaan GPS memperuntukkan RM30 juta menerusi Belanjawan Negeri 2020 untuk membantu graduan anak Sarawak membayar balik Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah satu tindakan yang tepat.

Exco Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing berterima kasih kepada kerajaan negeri atas peruntukan tersebut.

“Inisiatif murni itu sudah cukup jelas menunjukkan kerajaan GPS bukan hanya bercakap kosong menabur janji-janji manis, sebaliknya benar-benar ingin membantu setiap lapisan masyarakat tidak kira di bandar mahupun luar bandar,” ujarnya.

Menurut Kanyan, hutang PTPTN amat membebankan golongan muda di negara ini termasuk anak Sarawak.

“Bagi graduan yang baharu mendapat pekerjaan, mereka terpaksa berjimat cermat untuk perbelanjaan harian.

“Dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi, tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka memperolehi gaji yang tidak sampai hingga hujung bulan.

“Masalah lebih serius ada antara mereka yang masih belum mendapat pekerjaan,” jelasnya sambil menambah, inisiatif kerajaan itu memberi sinar dan nafas baharu kepada anak Sarawak.

Justeru, beliau mewakili golongan graduan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin amat berbesar hati dan menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kami sentiasa berdiri teguh di bawah naungan kerajaan GPS demi membela nasib anak Sarawak,” ujarnya.