Anda di sini

40 pelatih Inner Peace Spa Consultancy and Academy berjaya tamatkan latihan

Advertisement
 Tan (dua kiri) menyampaikan sijil tamat latihan kepada seorang penerima, turut kelihatan ialah Alyssa (dua kanan).
TAHNIAH: Tan (dua kiri) menyampaikan sijil tamat latihan kepada seorang penerima, turut kelihatan ialah Alyssa (dua kanan).

KOTA KINABALU: Seramai 40 pelatih berjaya menamatkan latihan program terapi spa menerusi Inner Peace Spa Consultancy and Academy.

Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe berkata, perkembangan industri spa nyata mempunyai masa depan cerah dengan peningkatan bilangan pusat terapi spa dan kesihatan yang semakin bertambah.

"Ini diperkuatkan lagi dengan usaha kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan Malaysia yang telah memperkenalkan 'Urutan Malaysia' sebagai jenama sedang giat dipromosikan kepada para pelancong.

"Perkembangan ini juga meningkatkan peluang pekerjaan serta potensi memajukan diri bagi para belia dan beliawanis amat meyakinkan sekali," katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Kali ke-2 Inner Peace Spa Consultancy and Academy di sini, semalam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Tan Lee Fatt.

Beliau berkata, kerjaya dalam bidang terapi spa mampu menjana pendapatan sekitar RM2,000 sehingga RM5,000 sebulan.

Katanya, pendapatan itu sudah pasti mampu meningkatkan taraf ekonomi para pelatih seterusnya membantu keluarga masing-masing.

"Dengan pendapatan sedemikian, industri spa sememangnya antara sektor pekerjaan yang mendukung dasar kerajaan bagi menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi.

"Saya berharap kementerian ini dengan Inner Peace dapat terus mengadakan kerjasama pada masa hadapan bagi memastikan lebih ramai belia pedalaman dapat mendapatkan latihan kemahiran seumpamanya," katanya.

Hadir sama ialah Pengasas Inner Peace Alyssa Lim serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement