Anda di sini

252 program pembangunan belia, sukan dirancang seluruh Sarawak

 Snowdan pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching semalam.
JAWAB: Snowdan pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching semalam.

KUCHING: Sebanyak 252 program pembangunan belia dan sukan dirancang Kementerian Belia dan Sukan untuk dilaksanakan di seluruh Sarawak.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata daripada jumlah itu 110 program pembangunan belia dan 142 pula program pembangunan sukan.

"Kerajaan Sarawak sentiasa berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan, persatuan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan program berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Shafiee Ahmad (GPS-Daro) tentang program pembangunan belia dirancang kerajaan mengurangkan gelaja sosial serta memperkasa kapasiti belia khususnya di luar bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Mengulas lanjut program itu, Snowdan berkata antara program utama dilaksanakan Program Jelajah Belia Sarawak meningkatkan penglibatkan belia dan persatuan program anjuran kerajaan.

"Pengisian program adalah seperti sesi motivasi, sembang santai belia bersama rakyat, acara sukan, kebudayaan, pameran, keusahawanan dan sebagainya.

"Setakat ini, program ini melibatkan seramai 3,332 belia bagi enam kawasan DUN dan program ini diadakan setiap 40 daerah seluruh Sarawak," jelasnya.

Selain itu, Program Transformasi Belia 'Kawanku Sayang, KeluargaKu Kenang' bermatlamat membantu belia meningkatkan jati diri, memupuk kasih sayang terhadap keluarga dan rakan, menyemarak semangat patriotik, menangani masalah sosial serta menanam sikap berpasukan yang tinggi.

"Program ini merupakan program tahunan diadakan di seluruh Sarawak," katanya.

Menurutnya, sebanyak 29 aktiviti seperti Program Rakan Muda Kreatif, Program Inspirasi Anak Muda dan Program Rakan Muda Ramadan dilaksanakan.

"Program ini bertujuan membina modal insan belia bersatu padu, berdisiplin, aktif, mengamalkan gaya hidup berkualiti dan berdaya maju," jelasnya.