Anda di sini

The Citizens terlepas peluang layak ke pusingan kedua

 Pemain Atalanta, Jose Luis Palomino (kiri) melakukan terjahan keras ke atas Jesus ketika bersaing pada aksi di San Siro, Milan kelmarin. — Gambar Reuters
AKSI LASAK: Pemain Atalanta, Jose Luis Palomino (kiri) melakukan terjahan keras ke atas Jesus ketika bersaing pada aksi di San Siro, Milan kelmarin. — Gambar Reuters

MILAN, Itali: Manchester City terlepas peluang mengesahkan kelayakan ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas diikat 1-1 oleh Atalanta pada satu perlawanan yang berakhir dengan Kyle Walker, pemain pertahanan kiri, menjadi penjaga gol.

Penjaga gol City, Ederson, dikeluarkan pada masa rehat kerana kecederaan otot sebelum penggantinya, Claudio Bravo, dibuang padang pada 10 minit terakhir permainan.

City membuka jaringan awal menerusi gol Raheem Sterling seawal minit ketujuh perlawanan di Stadium San Siro tetapi Mario Pasalic mengikat kedudukan empat minit selepas rehat untuk memastikan satu mata berharga.

Man City bagaimanapun kekal di tangga teratas Kumpulan C dengan 10 mata dari empat perlawanan, dengan Shakhtar Donetsk dan Dinamo Zagreb masing-masing lima mata.

Perlawanan berkesudahan dengan penuh drama apabila Bravo dilayangkan kad merah serta merta kerana menjatuhkan Josip Ilicic ketika berbaki 10 minit permainan.

Selepas beberapa minit kekeliruan, pengurus City, Pep Guardiola, mengeluarkan Riyad Mahrez dengan Walker mengambil alih tugas Bravo di pintu gol.

“Ada baki 10 minit dan ia mungkin lebih teruk bagi kami,” kata Guardiola. “Kyle Walker dicadangkan (menjadi penjaga gol) kerana keberanian dan ketangkasannya.

“Tahniah kepada beliau kerana membantu pasukan dan menjalankan tugas dengan baik.”

Walker kemudian menepis satu cubaan Ruslan Malinovsky dari satu tendangan percuma tetapi Atalanta ternyata gagal mengambil sepenuh peluang itu pada lewat permainan.

“Kami mengharungi separuh masa pertama yang baik tetapi anda boleh tanya pasukan di Itali betapa sukarnya menentang Atalanta, jadi dalam separuh masa kedua, kami terjejas teruk.”

City menguasai separuh masa pertama dengan Sterling membuka jaringan dari satu umpanan cantik Gabriel Jesus.

Tetapi Jesus gagal menambah jaringan buat City apabila penalti beliau tersasar setelah bola terkena tangan Ilicic.

Separuh masa kedua kelihatan seimbang tetapi Atalanta lebih berbahaya melakukan serangan dan asakan demi asakan akhirnya membuahkan hasil apabila Pasalic menyempurnakan hantaran Alejandro Gomez.

“Ia sukar untuk menimbulkan masalah kepada Manchester City,” kata jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini.

“Kami bergelut mencari rentak sehingga mereka gagal menyempurnakan penalti. Ia mungkin titik perubahan perlawanan.

“Pada akhirnya, kami berharap untuk menang. Saya tidak fikir masa kecederaan mencukupi selepas penjaga gol mereka dibuang padang. Ada banyak masa terbuang selepas itu.

“Sememangnya kami masih mempunyai peluang untuk meneruskan kemaraan. Kami harus menang menentang Dinamo Zagreb selepas ini. Sasaran kami ialah untuk layak tetapi sekurang-kurangnya kami mampu layak ke Liga Europa.” — AFP