Anda di sini

SMK Riam mengharumkan nama Sarawak

Advertisement
 Normah (lima kanan) bersama pasukan Tborneo dan Yucava yang telah mencapai kejayaan cemerlang pada CIGIF 2019 di Korea pada 2 dan 3 November lalu.
MEMBANGGAKAN: Normah (lima kanan) bersama pasukan Tborneo dan Yucava yang telah mencapai kejayaan cemerlang pada CIGIF 2019 di Korea pada 2 dan 3 November lalu.

MIRI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam menempa nama di peringkat antarabangsa selepas memenangi pingat emas pada Korea Cyber International Genius Inventor Fair (CIGIF) 2019.

Pengetuanya Normah Abdul Latiff berbangga dengan pencapaian itu selepas sekolah itu menewaskan 70 pasukan dari beberapa negara.

“Pasukan kita iaitu Tborneo diwakili Natalie Gituen Liso, Law Zhen Yen dan Allycia Nanu Bong juga telah merangkul Anugerah Khas World Inventors Association (WIA),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pasukan terbabit berjaya menghasilkan perisa semula jadi yang menggunakan daun tebu dalam bentuk serbuk dan kiub sebagai pengganti kepada perasa tambahan monosodium glutamat (MSG).

Normah berkata, satu lagi pasukan iaitu Yucava terdiri daripada Daniel Dennis, Nurnaziha Hasmady dan Eugenia Lavang Jalong telah berjaya mendapat Anugerah Pingat Perak dan Anugerah Khas Asia Creativity Invention Association (AICA).

Pasukan Yucava berjaya mencipta sudu mesra alam sebagai pengganti kepada penggunaan sudu plastik.

Pertandingan yang berlangsung pada 2 dan 3 November itu disertai kira-kira 70 pasukan daripada 12 negara seperti Korea, Vietnam, Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat, Kanada dan Indonesia.

“Kita juga mendapat Anugerah Khas CIGIF Teacher Achievement menerusi Cikgu Forinna Rosini Lanity, Law Sie Siek dan Enjila Ales.

“Ia dapat menambah koleksi anugerah yang telah dikecapi Kelab Young Inovator SMK Riam sekali gus menjadi kebanggaan pihak sekolah,” jelasnya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak terutama Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR), Sarawak Multimedia Authority, PPD Miri, PIBG, ibu bapa dan guru hasil kejayaan itu.

  • oleh
  • Advertisement