Anda di sini

SK Tatau muncul juara MSSD Tatau

Advertisement
 Kontinjen SK Tatau (kanan) menerima hadiah piala pusingan daripada Gilbert sambil disaksikan Samri (kiri) dan serta yang lain.
KAMI JUARA: Kontinjen SK Tatau (kanan) menerima hadiah piala pusingan daripada Gilbert sambil disaksikan Samri (kiri) dan serta yang lain.

BINTULU: Kontinjen Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Olahraga Ke-18 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tatau yang berlangsung dari 4 November dan berakhir kelmarin di Stadium Mini Bintulu.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh SK Kelawit dan SK Kuala Annau.

Anugerah Olahragawan diraih oleh Nicholas Saban Undik (SK Tatau) dan Olahragawati bersama menjadi milik Elysha Sofea Christina (SK Kelawit) dan Victoria Michael Welson Moses (SK Kuala Annau).

Kejohanan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Tatau dan dikelolakan oleh SK Kuala Annau itu disempurnakan penutupan rasminya oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tatau (PPD) Samri Suhaili.

Turut hadir Penolong PPD Tatau Muhd Nor Abdullah@Tana, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Daerah Tatau Tony Madup, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kelawit yang juga penyumbang piala pusingan kejohanan terbabit Gilbert Ngadi Melaka@Malaka, Guru Besar SK Kuala Annau merangkap pengerusi pengelola kejohanan Muhd Farhan Abdullah serta semua guru besar di Daerah Tatau.

Samri berkata, peserta yang terpilih mewakili Daerah Tatau akan berpeluang mewakili Bahagian Bintulu ke kejohanan peringkat negeri Sarawak pada tahun depan.

“Tahun depan kejohanan ini tidak lagi diadakan mengikut sekolah, sebaliknya mengikut zon kerana pada tahun hadapan sekolah daerah Tatau dan Sebauh akan bergabung menjadi PPD Tatau/Sebauh,” ujarnya dalam ucapan penangguhan kejohanan itu.

Sementara itu, Muhd Farhan berterima kasih kepada PPD Tatau dan semua yang terlibat menjayakan kejohanan yang disertai 15 sekolah rendah di Tatau itu.

Katanya, objektif kejohanan itu adalah untuk memilih wakil atlet Daerah Tatau ke Kejohanan Sukan dan Olahraga Bahagian Bintulu tahun depan dan tahun ini merupakan pemilihan yang agak mencabar kerana persaingan hebat antara kontinjen-kontinjen sekolah.

  • oleh
  • Advertisement