Anda di sini

Shakira berkata kehilangan suara masa paling gelap baginya

Advertisement
SHAKIRA
SHAKIRA

PENYANYI terkenal Shakira berkata kehilangan suara buat seketika dua tahun yang lalu adalah “masa paling gelap” dalam hidupnya, dan turut memberi kesan yang sangat mendalam kepadanya.

Pada November 2017, penyanyi berasal dari Colombia yang memenangi anugerah Grammy tiga kali itu terpaksa menangguhkan ‘El Dorado World Tour’ selama tujuh bulan selepas mengalami pendarahan pada pita suaranya.

“Ia sangat menjejaskan saya, sebelum dan selepas,” kata penyanyi berusia 42 tahun itu dalam satu temubual pada awal minggu ini dengan AFP di Barcelona, di mana dia tinggal bersama pemain bola Sepanyol Gerard Pique dan dua anak lelaki mereka.

“Anda kurang menghargainya ketika anda memilikinya... Dalam kes suara saya, ia adalah sesuatu yang begitu wujud dalam diri saya, ia adalah identiti saya,” tambahnya dalam temubual itu.

“Saya selalu berfikir bahawa suatu hari nanti saya akan kehilangan banyak perkara, suatu hari anda akan hilang usia muda, anda hilang kecantikan anda, anda juga malah hilang kawan-kawan, mereka akan datang dan pergi... namun saya tidak pernah berfikir suara saya adalah sesuatu yang boleh hilang.”

“Apabila kebimbangan itu datang, apabila saya tidak tahu sama ada saya boleh menyanyi lagi, ia adalah masa paling gelap dalam hidup saya,” tambahnya.

Dalam apa yang dia gambarkan sebagai “satu keajaiban”, suara Shakira berjaya pulih secara semulajadi, tanpa perlu melakukan pembedahan seperti yang dicadangkan oleh doktor dan akhirnya dapat meneruskan jelajah pada tahun 2018.

Satu dokumentari mengenai jelajah itu, yang merangkumi selama dua dekad lagu-lagu hits dan berdasarkan dua pertunjukan yang dia lakukan di Los Angeles, akan dibuka di sekitar 60 negara bermula 13 November.

“Ia adalah satu daripada jelajah paling penting dalam hidup saya, kerana betapa berertinya jelajah itu, kerana halangan berbeza yang harus saya tempuhi,” kata Shakira.

Dengan campuran ritma Latin dan Arab serta pengaruh rock, Shakira adalah salah seorang bintang terbesar dari Amerika Latin dengan lagu-lagu hits global  seperti ‘Hips don’t Lie’ dan ‘Whenever, Whenever’.

Dia telah dipilih untuk membuat persembahan bersama bintang pop Jennifer Lopez semasa pertunjukan rehat Super Bowl di Hard Rock Stadium, Miami pada 2 Februari 2020, yang kebetulan adalah hari jadi Shakira.

“Kami mempunyai banyak idea, tapi sukar untuk melakukannya dalam tempoh yang singkat. Namun begitu kami akan cuba menggunakannya sebaik yang mungkin terutamanya peluang untuk mewakili Latino,” kata Shakira. — AFP

Advertisement