Anda di sini

Sabah disaran contohi Vietnam bangunkan industri kopi

Advertisement
 Seorang barista menunjukkan kepada Madiyem proses menyediakan kopi sambil diperhatikan oleh Chong.
PELUANG: Seorang barista menunjukkan kepada Madiyem proses menyediakan kopi sambil diperhatikan oleh Chong.

KOTA KINABALU: Sabah disifatkan boleh mencontohi Vietnam yang kini berjaya muncul sebagai salah satu negara pengeluar dan pengeksport biji kopi utama di dunia.

Presiden Persekutuan Industri Sabah (FSI) Datuk Chong Hon Len berkata industri kopi mendorong penguasaan pasaran Vietnam melonjak dari 0.1 % kepada 20% dalam tempoh 30 tahun. 

“Apabila bercerita mengenai biji kopi, ramai yang menyangka Brazil, Colombia atau Ethiopia pengeluar terbesar, tetapi pengeksport kedua terbesar hari ini adalah Vietnam.

“Jika Vietnam, negara jiran di seberang laut China Selatan boleh berjaya selepas berakhirnya era Perang Vietnam kira-kira 40 tahun lalu, Sabah juga boleh,” katanya.

Chong berkata demikian sempena pelancaran Festival Kopi Borneo 2019, di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Borneo Coffee Alliance (BCA) Dick Lee dan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Industri Datuk Madiyem Layapan.

Menurutnya, industri kopi di Vietnam menggaji kira-kira 2.6 juta pekerja dan membantu meningkatkan taraf hidup 60% rakyatnya yang berada di bawah garis kemiskinan pada 1994 dan kini sudah berkurangan kepada 10%.

“Sebab itu, saya fikir Sabah juga boleh mempunyai kisah kejayaan seperti Vietnam jika kita mahu mencuba,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata produk kopi Sabah kini terkenal di China, Korea dan Jepun hasil pendedahan kepada pelancong Asia Timur yang membeli produk terbabit.

Pada masa sama, beliau percaya masih banyak yang perlu dilakukan khususnya dari segi penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan lebih banyak biji kopi berbanding bergantung dengan negara luar.

Untuk rekod, festival edisi keempat terbabit diadakan dari 8 - 11 November, serta menghimpunkan jenama kopi tempatan dan antarabangsa melibatkan 60 peserta.

  • oleh
  • Advertisement